Monday, 4 March 2013

ALLAHYARHAM SUPERINTENDENT IBRAHIM LEBAR- SEORANG YANG PENDIAM : KENANGAN SEORANG SAHABAT


BELASUNGKAWA:MEMORI BERSAMA WIRA NEGARA YANG TERKORBAN DI SEMPORNA SABAH, ALLAHYARHAM SUPERINTENDENT IBRAHIM LEBAR- SEWAKTU SAMA-SAMA MELENTUR JIWA REMAJA DAN BERKONGSI RUMAH SEWA 30 TAHUN YANG LALU.

Bahagian 1

(Kenangan ku sewaktu tinggal berkongsi rumah sewa sewaktu zaman remaja bersama Allahyarham Superintendent Ibrahim Lebar Wira Negara yang terkorban dalam tragedi di Semporna Sabah semalam).


Hampir 30 tahun lalu (1983) kami sama sama tinggal serumah. Waktu itu saya masih belajar di sebuah sekolah swasta di bandar Kuala Terengganu. Ibrahim yang lebih mesra dipanggil Dinsmia (nama glamour) ringkasnya Dins, baru habis belajar di sebuah sekolah menengah di Besut dan tinggal bersama kami untuk hidup berdikari tanpa mahu menyusahkan keluarganya di Jabi, lalu mengintai peluang peluang pekerjaan di bandar Kuala Terengganu.

Kami serumah semua 6 orang, 4 darinya semua dari Jabi Besut iaitu Aziz serta adiknya Din juga namanya , Hadi Yaacob termasuk Allahyarham dan saya dari Mengabang Telipot. Seorang lagi juga bernama Din berasal dari Kuala Brang. Jadi ada tiga Din dalam rumah sewa kami itu.Saya, Hadi dan Din Kuala Brang sama-sama di sekelas di tingkatan enam atas di sebuah sekolah swasta yang sifat pengajarannya cenderung kepada politik pembangkang.

Aziz@ Abdullah dan adiknya Din telah bekerja (Aziz bekerja di Telekom), jadi kami tinggal serumah di sebuah pondok usang yang sewanya hanya RM70 sahaja dan kami berkongsi bayar belas-belas riggit sahaja sebulan.

Rumah sewa kami waktu itu sudah buruk dan senget keadaannya, sebab itu sewanya murah terletak di Jalan Panji Alam, bersebelahan dengan rumah Ustaz Embat seorang pakar khat tulisan jawi.Sekarang telah dirobohkan diganti bangunan baru.


Ibrahim atau Dins seorang yang pendiam, sentiasa terukir senyuman dan mudah mesra. Kalau perempuan melihatnya pasti akan cepat jatuh cinta.

 Walau pun saya mulanya tidak mengenali dia dan datang menumpang di situ kerana ajakan kawan sekelas, Hadi dan Din Kuala Brang, tetapi mereka (Aziz dan adiknya dan Allahyarham) yang sama-sama sekampung dari Jabi itu tetap menerima saya dengan baik untuk tinggal bersama di rumah itu.

Kalau tidak silap Allahyarham lebih senior dua tahun sahaja dari saya, juga kalau tak silap umurnya 22 (1983) dan saya awal 20.Oleh itu mungkin Allahyarham terkorban semalam pada usia 52 tahun.Allahyarham Ibrahim (Dins) begitu amat rapat dengan saya kerana kebetulan hobi saya mengarang waktu itu, terutama puisi dan bingkisan rasa, sering disiarkan di radio Terengganu dan beliau selalu bekongsi ayat-ayat cinta atau ayat-ayat indah dengan saya.

 Saya juga sedang bercinta waktu itu dengan rakan sekolah, manakala Allahyarham Ibrahim juga mula menjalinkan cinta dengan seorang anak ahli politik yang berketurunan Tengku, yang tinggal di Gong Kapas tidak jauh dari rumah sewa kami.Lantaran itu hubungan persahabatan kami menjadi akrab kerana kebersamaan jiwa sentimental kami waktu itu. 

Kami selalu berbincang tentang percintaan, perkahwinan dan masa depan, walaupun saya masih belajar.Kami juga selalu berbincang tentang politik, tetapi Allahyarham seorang yang amat taat kepada kerajaan yang memerintah, walaupun saya dan rakan-rakan di sekolah itu agak berjiwa penentang kerana diasuh dengan aliran politik pembangkang.

Allahyarham banyak menasihat kami supaya tumpu pada pelajaran dahulu dan jangan bersikap anti kerajaan. Maknanya jiwa patriotik Allahyarham sudah tinggi waktu itu.

TERIMAKASIH : RAR rakan baik Allayarham SUPT Ibrahim Lebar

4 comments:

  1. Allahyarham sememangnya seorang yang baik. Mengenalinya semasa bertugas di piliharaya kecil Labis 2011. Sempat menghantar tiga ekor ayam untuk dimasak lemak cili api oleh isteri saya. Seronok bila Allahyarham dan rakan-rakan bersila di tikar dibawah pohon ceri dilaman rumah menikmatinya. Semoga Allahyarham dan para pejuang lain dicucuri rahmat Allah.

    ReplyDelete
  2. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yg soleh. Al-fatihah.

    ReplyDelete
  3. Terima kasih atas nukilan dan foto memoir ini, teringat saya dizaman kanak-kanak, pernah bertamu dirumah usang itu di jalan panji alam.
    Syukur kepada ALLAH SWT, meminjamkan ayah chik yang sangat istimewa buat kami semua.
    P/S : Allahyarham Hadi yaacob juga telah kembali ke rahmatullah kira-kira 2 tahun yg lepas.

    ReplyDelete
  4. Baju t kegemaran allahyarham sewaktu remaja. Semoga allahyarham di tempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.

    ReplyDelete