Supritendan
Ibrahim Lebar, 52, terkorban dalam serangan hendap oleh sekumpulan
lelaki bersenjata di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna Sabah
semalam.Allahyarham meninggalkan isteri serta tiga orang anak iaitu dua
lelaki dan seorang perempuan. Jenazah Ibrahim akan dikebumikan di Tanah
Perkuburan Islam di USJ, Subang Jaya. -Foto BERNAMA
BESUT: Keluarga pegawai kanan polis yang terkorban dalam serang hendap
di Semporna, Sabah malam tadi, tidak menyangka laporan berita yang
dibaca di internet melibatkan adik beradik mereka sendiri.
Kakak pegawai kanan polis itu, Mek Nab Lebar, 60, berkata berita
mengenai kejadian yang mengorbankan Supritendan Ibrahim Lebar, 52,
dibaca oleh adik bongsu mereka yang menetap di Melaka dan mengkhabarkan
berita buruk itu kepadanya malam Sabtu.
"Hati ini dah mula tidak berapa sedap tapi kami tidak berapa percaya dan
ambil keputusan terus hubungi isteri Allahyarham, Rosiah...dia juga
mengatakan tidak dapat menyatakan kepastian.
"Akhirnya pagi ini kami terima berita kematian adik saya itu daripada
isterinya kira-kira pukul 8 pagi setelah dimaklumkan oleh polis,"
katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jabi
dekat sini, Ahad.
Ibrahim dan empat lagi anggota polis terkorban dalam kejadian serang
hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata di perkampungan atas air
Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna Sabah kira-kira pukul 8 malam.
Ibrahim dari Cawangan Khas, Bukit Aman berada di Semporna sejak dua
minggu lepas dan difahamkan akan pulang ke semenanjung hari ini.
Ketika pemberita tiba di rumah kakak Ibrahim tengah hari ini, keluarga
itu sedang bersiap untuk ke rumah Allahyarham di Seksyen 15, USJ, Subang
Jaya, Selangor.
Ibrahim yang dipanggil 'Sudin' oleh anggota keluarganya adalah anak
kesembilan daripada 10 beradik dan dia seorang yang ramah dan mudah
mesra dengan sesiapa yang ditemuinya.Mek Nab berkata adiknya itu
mendapat didikan awal di Sekolah Kebangsaan Jabi dan meneruskan
pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud, Alor Lintang,
dekat sini sebelum memasuki kerjaya sebagai Inspektor Polis selepas
menduduki Sijil Tinggi Persekolahan (STP).
Selepas bekerja, Ibrahim melanjutkan pengajian peringkat Ijazah di
Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang dan Ijazah Sarjana di
Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Mek Nab berkata kali terakhir beliau bertemu dengan Allahyarham ialah
pada 24 Januari lepas ketika mengadakan kenduri Maulud Nabi di rumah
peninggalan pusaka keluarga, di kampung itu.
"Sudin paling suka makan nasi kerabu, tiap kali balik ke Besut dia pasti
membelinya atau menyuruh saya membuatnya untuk dimakan bersama isteri
dan anak-anaknya," katanya.
Allahyarham meninggalkan isteri dan tiga orang anak iaitu dua lelaki dan seorang perempuan.
Jenazah Ibrahim akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di USJ,
Subang Jaya atas permintaan isterinya yang bertugas sebagai pegawai di
sebuah bank di sana. -BERNAMA
No comments:
Post a Comment