Mexico – Foto mengejutkan ini menunjukkan bagaimana mayat tujuh
lelaki yang ditemui atas kerusi plastik ditembak di kepala dengan mesej
ancaman dipaku pada dada mereka menggunakan alat pemecah ais.
Satu pelekat pada satu mayat berkenaan yang ditemui pagi semalam di
Uruapan, negeri Michoacan berbunyi: “Amaran! Inilah yang berlaku kepada
pencuri, penculik, penyerang seks dan pemeras ugut.” Tujuh mayat yang
mempunyai kesan kecederaan ditembak didudukkan di atas kerusi dekat
bulatan jalan raya, kata pihak berkuasa tempatan. Pejabat pendakwa raya
tidak memberikan motif pembunuhan itu.
Mayat berkenaan ditemui dengan kaki dan tangan terikat di luar kilang
air minuman Pepsi. Kumpulan lelaki terbabit dipercayai berusia antara
15 hingga 40 tahun. Mayat ditemui kira-kira jam 5.30 pagi waktu
tempatan. Sementara itu, tujuh lagi orang dibunuh di bandar berjiran
Guerrero, Mereka terdiri daripada empat orang awam dan tiga ejen
persekutuan yang bercuti daripada bertugas.
Tiga ejen itu dikejar oleh kumpulan lelaki bersenjata ketika berjalan
menuju ke sebuah bank dan dibunuh selepas cuba berlindung di hotel
berhampiran, kata polis.
Kedua-dua negeri di pantai barat Mexico itu menyaksikan peningkatan
keganasan sejak beberapa tahun kebelakangan ekoran kegiatan kartel
dadah. Kira-kira 70,000 orang terbunuh dalam kejadian keganasan
dikaitkan dengan dadah di Mexico sejak tujuh tahun lalu.
President Enrique Pena Nieto yang mula memerintah Disember lalu
berikrar membendung keganasan yang mencemar imej negara itu sebagai
destinasi pelancongan dan menghalang kehadiran pelabur asing. – Agensi
No comments:
Post a Comment