Tuesday, 19 March 2013
TEMUBUAL EKSKLUSIF BERSAMA KETUA POLIS SABAH : DATUK HAMZA TAIB : "KAMI AKAN TENTANG KIRAM HABIS HABISAN
“Jamalul Kiram boleh cakap apa saja. Kami akan tentang mereka habis-habisan!,
”Begitulah kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib kepada pertanyaan seorang wartawan stesen televisyen Filipina GMA 7 dalam sidang akhbar di pusat media Ops Daulat di Felda Sahabat, Lahad Datu petang semalam.
Ketika terus diasak oleh wartawan terbabit kononnya pasukan keselamatan mengambil kesempatan ke atas pengganas setelah Jamalul Kiram III mengumumkan gencatan senjata, Hamza berkata pengganas terlebih dahulu menyerang dan membunuh dua anggota polis serta mencederakan tiga lagi dalam pertempuran di Kampung Tanduo, dekat sini pada 1 Mac lepas.
“Kami tidak akan hormati kata Jamalul Kiram III kerana pengikutnya menembak mati dua anggota polis, sedangkan sehari sebelum itu beliau umum gencatan senjata,” katanya dengan suara yang lebih tegas.
Begitulah Hamza. Pegawai polis yang kini menjadi tumpuan seluruh negara setiap hari.Masakan tidak, sebagai orang nombor satu dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri itu, beliau kini sedang diperhatikan baik di dalam mahupun di luar negara, tentang bagaimana beliau mengendalikan insiden pencerobohan pengganas militan Sulu.
Puluhan wartawan yang membanjiri pusat media sudah ‘masak’ dengan perangainya. Dengan riak mukanya yang bengis, ditambah susuk badan yang tegap, pegawai kanan polis itu ternyata tidak akan melayan sebarang pertanyaan yang disifatkannya berbaur ‘dengar cakap’ atau soalan provokatif yang tidak disokong dengan fakta yang kukuh.
Namun kesempatan Mynewshub.my menemui Hamzah secara eksklusif semalam membuktikan yang beliau bukanlah seorang yang bengis atau ‘cepat melatah’ seperti yang disangka ramai pihak.
Lebih sejam kami menemubual beliau dari hati ke hati, berkongsi kisah suka dukanya selama bergelar pegawai polis termasuk pengalamannya berhadapan dengan insiden pencerobohan puak pengganas militan Sulu ini.” Sebenarnya saya bukanlah tidak mesra atau susah untuk didekati, tetapi sebagai antara pegawai yang bertanggungjawab menyusun gerak kerja dan operasi pasukan keselamatan terutama dalam Ops Daulat ini, saya harus bijak untuk membezakan atau emosi dan profesionalisma.”Marah memang marah bila ada anggota kita yang terbunuh dalam pertempuran, geram memang geram bila mendapat tahu ada anggota kita yang diseksa dengan begitu kejam, namun saya kena rasional dan tidak boleh membiarkan emosi menguasai diri, kalau tidak kita mungkin hilang fokus dan itulah yang ditunggu-tunggu oleh musuh kita.” Mungkin anda (wartawan) melihat saya garang, tetapi saya bukanlah garang seperti yang disangkakan itu, cuma adakalanya saya dilihat tegas terutama kalau soalan yang dikemukakan tidak bersandarkan hakikat yang sebenar,” katanya eksklusif pada Mynewshub.my di sini semalam.
Dalam kesempatan bertemu dengan beliau secara peribadi itu, kami turut meminta beliau berkongsi pengalamannya ketika mula-mula mendapat tahu tentang insiden tersebut.
Menurut Hamza, beliau ketika itu sedang berada di rumah apabila dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah (OCPD) mengenai perkara berkenaan.Mengakui agak terkejut dengan berita itu, Hamza berkata, beliau bagaimanapun tidak cepat melatah.
Beliau dengan kadar segera memanggil mesyuarat khas membincangkan kaedah dan strategi bagi menangani masalah itu dengan pegawai-pegawai kanannya.Serentak dengan itu, kata Hamza, segala perancangan dibuat dengan teliti dan terus dilaksanakan tanpa berlengah lagi.
” Kalau ikutkan hati marah, mungkin kita akan terus mengambil keputusan untuk membedil atau menyerang kedudukan musuh tetapi ramai orang tidak faham, ia tidak semudah itu kerana banyak faktor perlu diambil kira.”
"Kita (Malaysia) terkenal dengan pendekatan yang lebih diplomasi, tindakan keras seperti yang awak lihat sekarang terpaksa diambil setelah mereka (pengganas) mengambil tindakan yang berlawanan, sedangkan peluang dan masa yang secukupnya telah diberikan kepada militan Sulu ini,” katanya bersemangat.
Kami kemudiannya menanyakan soalan yang lebih ‘lembut’ kepada Hamzah.Kami meminta beliau berterus-terang bagaimana beliau menangani dan menghadapi masalah yang cukup mencabar ini.
Ketika ini kami melihat wajahnya berubah. Suaranya yang agak kasar tadi tiba-tiba menjadi perlahan. Serentak dengan itu dia merenung wajah kami satu persatu.
” Al-Quran adalah sumber kekuatan saya…setiap pagi selepas solat Subuh, sesibuk mana pun atau sejauh manapun stress saya ketika itu, saya tetap akan membaca Al-Quran sekurang-kurangnya sehelai, sekarang lebih mudah kerana saya boleh membacanya menerusi telefon bimbit saya.” Dan seperti mana orang Islam lain, saya akan pastikan tidak tertinggal solat walau dalam keadaan apapun…Alhamdulillah, berkat ayat suci yang dibaca, selain solat lima waktu itu, saya rasa cukup tenang dan lebih berkeyakinan dalam setiap tindakan yang saya ambil khususnya dalam Ops Daulat ini.” Alhamdulillah, saya boleh katakan sehingga kini, saya tidak merasa terlalu tertekan dan terbeban dengan apa yang sedang berlaku, ada saja perkara yang dimudahkan-Nya, ada saja jalan keluar dalam setiap masalah yang ditempuh,” katanya perlahan.
Mengenai ‘bosnya’ iaitu Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, beliau berkata, sebagai pegawai bawahannya, beliau bertanggung jawab untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada Ismail walau dalam keadaan sesukar mana sekalipun.
Beliau mengakui, bosnya itu juga adalah manusia biasa, mana mungkin terlepas daripada merasa tekanan, namun beliau lega kerana Ismail dapat melaluinya dengan baik sekali.” Kami banyak berbual, berbincang malah adakalanya kami tidur bersebelahan…begitu juga dengan pegawai-pegawai kanan yang lain, kami ibarat satu keluarga. Kami akan terus bersama di saat suka dan duka, itu yang pasti,” katanya.
Di akhir perbualan tersebut, kami mengambil kesempatan bertanyakan mengenai perasaannya bila melihat ramai pegawai dan anggotanya gugur dalam pertempuran menentang pengganas Sulu ini.Beliau terdiam seketika. Terasa begitu berat untuk Hamza menjawab soalan tersebut.
” Saya pun ada anak dan isteri, bayangkan kalau mereka terpaksa melalui perkara yang sama…tiada perkataan yang boleh menggambarkan perasaan saya tetapi itu perjuangan yang telah kami semua (pasukan keselamatan) pilih.” Ketika berkahwin dulu, inilah yang saya selalu ingatkan pada isteri saya tentang risiko bertugas dalam pasukan. Alhamdulillah beliau (isteri) cukup faham apa yang saya lalui ketika ini, lagipun saya bukan baru dalam melalui pengalaman berhadapan dengan musuh.” Masa mula-mula ditauliahkan sebagai Inspektor dulu, saya pernah ditugaskan melawan pengganas komunis, kemudian beralih kepada Jabatan Siasatan Jenayah (CID) sehinggalah mengetuai jentera pasukan di Sabah ini…semua ini adalah pengalaman yang mematangkan saya,” katanya.Hamza juga berkongsi dengan kami mengenai keluarga beliau.
Katanya, beliau bersyukur kerana anak-anaknya telah berjaya dalam karier yang mereka ceburi.Ada di antara mereka, katanya, berkelulusan undang-undang dan ada yang sudah bergelar doktor perubatan.” Anak saya ini cukup manja dengan bapa mereka, sebab itu bila melihat anak pegawai dan anggota saya yang terkorban menangis di sisi jenazah bapa kesayangan mereka, saya cukup faham apa yang mereka lalui.” Tetapi inilah perjuangan, benda-benda ini terpaksa kita telan kerana kita telah bersumpah untuk menjaga kedaulatan agama, bangsa dan negara kita yang tercinta biarpun besar manapun cabaran di depan mata,” katanya bersemangat.
Sepanjang hampir sejam berbual dengan beliau, ada saja bunyi deringan telefon bimbit beliau yang menganggu perbualan kami.Namun Hamza dengan tenang melayan setiap panggilan yang masuk.Beliau kemudian meminta diri untuk beredar bagi meneruskan tugas yang tak pernah berhenti sejak Subuh tadi.Malam semakin larut. Hamzah masih berpakaian lengkap.” Adakalanya saya hanya tidur tiga jam sehari,” katanya tersenyum sebelum beredar.Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib.
SEBAGAI RAKYAT MALAYSIA SOKONGAN PADU SAYA BERIKAN KEPADA PASUKAN KESELAMATAN,SEGALA TINDAKAN MERUPAKAN JALAN TERBAIK,PEHAK LAWAN AKAN MENGGUNAKAN APA JUA TIPU HELAH, JANGAN PERPERANGKAP.
ReplyDelete