Wednesday, 10 April 2013
ANALISA PRU13 : MAMPUKAH WAKAF MEMPELAM KEMBALI DITAWAN BN???
APA yang sebenarnya tidak kena di Wakaf Mempelam? Ini bukan soal kedudukan wakaf yang diteduhi pokok buahan, tetapi soal sokongan terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.
Sudah lebih 30 tahun DUN yang meliputi kawasan pinggir bandar raya ini yang terkwenal dengan keropok Losong itu itu dikuasai Pas - kawasan yang makin dianggap sebagai lubuk parti pembangkang itu dan mungkin dikategorikan hitam bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Ketika banyak pihak yakin Terengganu terus kekal di bawah BN dengan kemenangan lebih besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), DUN Wakaf Mempelam kelihatan terlalu sukar untuk dikembalikan untuk meningkatkan senarai bilangan kerusi.Lazimnya, jika kawasan dianggap lubuk bagi Pas, pelengkapnya merupakan tokoh setempat berkelulusan agama yang dilabelkan ulama dan ustaz dengan kewujudan masjid baginya menapak, sekolah dan pondok untuk menyemai tarbiyah berpanjangan bagi mencambahkan kader.
Namun semua ini tidak ada di Wakaf Mempelam, kawasan yang turut menerima limpahan perkembangan bandar raya manakala aspek kebajikan dan pembangunan untuk masyarakat setempat tidak dikesampingkan oleh kerajaan dan para pemimpin UMNO sendiri.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menjengah kawasan itutahun lalu juga bertanya mengapa?"Di Wakaf Mempelam sudah 30 tahun (dikuasai Pas) Apa halnya ini?
Apakah masyarakat tidak nampak perubahan yang dibawa oleh pimpinan BNdan kemampuan BN untuk membawa perubahan yang lebih besar,''ujarnya.
Menyingkap rentetan sejarah pilihan raya, Pas menguasai Wakaf Mempelam melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali dalam PRU 1986 dengan majoriti tipis 105 undi menewaskan calon BN, Abdul Latif Mohamad.
Dalam PRU 1990, Pesuruhjaya Pas Terengganu kini, Abdul Wahid Endutmengambil alih kerusi itu dengan majoriti 1,163 undi, dalam persaingan tiga penjuru termasuk Abdul Latif yang dicalonkan semula.
Pada tahun 1995, BN meletakkan seorang usahawan, Datuk Sulong Mamat tetapi Abdul Wahid terus menang dengan majoriti 1,119 dan apabila ditentang oleh Muhammad Ngah semasa tsunami melanda politik negara pada tahun 1999, majoriti yang diperoleh meningat kepada 5,760.
Manakala pada 2004, majoriti yang diperoleh Abdul Wahid menurun semulakepada 1,888 setelah mengalahkan bekas pegawai Kemas, Hamzah Mohd Zain dan kembali meningkat kepada 2,193 pada 2008 semasa dicabar Othman Awang pada 2009.
Daripada 12,616 jumlah pengundi yang layak pada tahun 1984, jumlah itu meningkat kepada 25,276 orang dalam PRU Ke-13 (termasuk 114 Cina, India (17) dan lain-lain 21) dengan lebih 4,000 pengundi baru kebanyakannya kalangan anak muda.
Ramai kalangan setempat berhujah faktor calon memainkan peranan cukup besar bersama dengan perpecahan melalui sikap kalangan UMNO sendiri yang cuba melumpuhkan harapan untuk menang.
Ketika UMNO menurunkan calon yang sukar untuk disenangi meluas, Wahid yang merupakan penduduk setempat, mempunyai latar keluarga yang ramai bertompok di berapa mukim bagi melebarkan pengaruh dan sokongan di samping pendekatannya yang mesra.
Ada yang bertanya apakah jasa Abdul Wahid bagi kawasan itu selain kemesraannya dengan sesiapa sahaja dan kemunculannya di majlis kenduri-kendara.PRU-13 kali ini, Abdul Wahid mungkin diturunkan lagi meskipun dikatakan berhadapan masalah kesihatan dan beliau akan dicabar oleh salah seorang daripda beberapa nama yang disebut-sebut termasuklah bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Zuber Embong.
Juga disebut-sebut Pegawai Pembangunan DUN, Wan Mahyuddin Wan Ngah di samping bekas guru dan bekas pemimpin Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Syed Annuar Syed Mohamad yang kesemuanya anak tempatan dengan latar dan watak berbeza
Yang penting BN perlu memilih calon yang boleh diterima lebih luas sebagaimana Abdul Wahid ketika pembangunan bukan suatu tarikan besar dan orang UMNO tidak lagi mudah mengorbankan parti sendiri.Daripada tiga nama ini, jika pilihan tepat, dengan tambahan sokongan anak muda, tidak lagi mustahil BN untuk menang. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment