Saturday, 6 April 2013
KHALED NORDIN BAKAL MB JOHOR YANG BARU???
KUALA LUMPUR: Hakikat bahawa cakap-cakap kini semakin jelas yang Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman akan bertanding kerusi parlimen dan dalam kes ini di Gelang Patah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), dengan sendirinya memberi indikasi yang negeri itu akhirnya akan menerima seorang menteri besar baru.
Abdul Ghani OthmanLagi pun spekulasi ini tidak dapat dielakkan lagi kerana Ghani telah menerajui Johor selama empat penggal iaitu sejak Mei 1995.Jika beliau masih lagi bertanding di dewan undangan negeri, bermakna beliau akan terus memimpin Johor untuk penggal kelima berturut-turut.
Dan ini tidak mungkin akan berlaku.Pengantinya pula, mestilah orang kelahiran Muar - sebagaimana mengikut tradisi sejak turu temurun di negeri itu.Johor mempunyai satu tradisi tidak bertulis, menteri besar mestilah datang dari kalangan anak kelahiran Muar.Sejak 1886, iaitu era Johor moden, negeri itu telah memiliki 14 orang menteri besar.
Dalam hal ini, calon yang menjadi tumpuan ramai sebagai calon menteri besar Johor akan datang ialah seorang lagi anak kelahiran Muar yang juga Menteri Pengajian Tinggi, iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, 54.
Apatah lagi umum mengetahui yang Khaled dan Tuanku Sultan Ibrahim, Sultan Johor Darul Takzim telah mengenali satu sama lain sejak sekian lama. Mereka adalah rakan persekolahan di English College, Johor Baharu.
Khaled sendiri apabila ditanya mengenai spekulasi tentang beliau akan kembali sebagai menteri besar Johor bukan sahaja sekadar memberikan senyuman sinisnya yang terkenal itu malah berkata yang dirinya telah menjadi subjek kepada spekulasi itu sejak tiga penggal yang lalu.
Ini pun satu fakta yang benar lebih-lebih lagi beliau sepatutnya kembali ke Johor pada pilihan raya yang lalu tetapi ia tidak menjadi kenyataan atas sebab-sebab tertentu.
Bagaimanapun, mStar Online difahamkan yang Khaled telah pun menerima panggilan daripada Setiausaha Agung Umno dan BN, Tengku Adnan Tengku Mansor pada petang Khamis (4 Apr) berhubung keputusan pucuk pimpinan pusat yang mahukannya bertanding di kerusi dewan undangan negeri kali ini.
Beliau khabarnya diminta supaya menyelesaikan bagaimana hendak menukar kerusi dengan MIC yang sejak terbentuknya Parlimen Pasir Gudang (di mana Khaled adalah wakil rakyatnya) bertanding di Dewan Undangan Negeri Permas.
Permas secara semulajadinya adalah kerusi yang sesuai untuk Khaled. Di samping ia terletak dalam Parlimen Pasir Gudang, DUN ini juga mempunyai 54.25% pengundi Melayu berbanding DUN Johor Jaya yang diwakili oleh MCA.
Namun Khaled sentiasa mempunyai pilihan kerana satu lagi kerusi DUN yang selamat untuknya ialah Tanjung Puteri dalam Parlimen Johor Baharu yang mempunyai 62% pengundi Melayu.DUN Tanjung Puteri juga sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing buat Khaled kerana beliau pernah mewakili Parlimen Johor Baharu selama dua penggal dan pernah menjadi ketua pemuda dan ketua Umno Bahagian sebelum berpindah ke Pasir Gudang apabila persempadanan semula kawasan dilakukan.
Bagaimana pun nama Khaled bukannya satu-satunya nama yang disebut sebagai calon menteri besar.Dua lagi nama yang menjadi pilihan ialah ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ketua Umno Tajung Piai yang juga ADUN Kukup, Datuk Md Othman Yusof iaitu pemilik majalah kartun Ujang.Khabarnya kedua-dua mereka juga berada dalam senarai pemimpin yang diterima dan diperkenan oleh Sultan.
Khaled Nordin pemimpin yang ada kualiti.
ReplyDelete