MELAKA 3 April - Tidak sudah-sudah bekas selebriti yang kini aktivis
Pas, Bob Lokman, terus diperalatkan oleh pakatan pembangkang khususnya
Pas untuk membuat tuduhan, tohmahan dan cercaan kepada kepimpinan
kerajaan Barisan Nasional (BN) di pentas ceramah mereka.
Terbaru malam tadi, sekali pun kredibilitinya di pentas politik dan
kewajaran pembangkang memperalatkan beliau terus dipersoalkan ramai
orang, Bob Lokman membuat tuduhan liar yang tidak berasas kepada Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kata Bok Lokman, Perdana Menteri sengaja melambat-lambatkan
pengumuman pembubaran Parlimen kerana mahu mencetuskan huru-hara sekali
gus membatalkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Walaupun tuduhan Bob Lokman itu terang-terang tidak berasas dan tidak
akan dipercayai umum, namun dia tetap menegaskan sedemikian ketika
berucap dalam ceramah di pentas pembangkang di Taman Indah 2, Padang
Jambu, Bukit Baru dekat sini malam tadi.
Lebih keterlaluan, dia secara membuta-tuli mengaitkan persoalan
huru-hara dan kelewatan pembubaran Parlimen dengan tragedi pencerobohan
pengganas di Lahad Datu dan lain-lain tragedi di negara ini sebelumnya.
Katanya, Perdana Menteri mempunyai taktik untuk membatalkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) iaitu dengan mengadakan huru-hara.
"Najib penakut tak bubar Parlimen. Mungkin tak bubar Parlimen ini ada
satu taktik lain yang boleh membatalkan segala-gala yang mencetuskan
huru-hara.
"Al-Maunah berlaku dekat pilihan raya, kes Ibrahim Libya juga dekat
pilihan raya dan Lahad Datu juga berlaku dekat pilihan raya. Apa makna
ini?
"Pemimpin ini penuh pengalaman dengan kejahatan dan penipuan dan
mereka ini orang yang sangat tersusun dalam mengatur kerja mereka
walaupun kerja-kerja jahat," katanya.
Populariti Bob Lokman nampaknya semakin menurun terutama di kalangan
penyokong Pas sendiri apabila kehadiran beliau hanya mampu menarik
kira-kira 200 orang khayalak ke program ceramah itu. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment