Wednesday, 3 April 2013
TERKINI LAHAD DATU : PENDUDUK TAK MAHU BALIK KE RUMAH MASING MASING???
LAHAD DATU 3 April - Biar pun sudah empat hari penduduk di Kampung Tanjung Labian dan Kampung Tanjung Batu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, sebahagian mereka memilih untuk terus tinggal di pusat penempatan sementara atau rumah saudara-mara memandangkan keadaan kampung tersebut yang tidak terurus.
Sebahagian lain pula terpaksa melupakan hasrat pulang ke kampung halaman kerana rumah mereka rosak teruk atau dibakar oleh pengganas kumpulan Kiram.Namun, bagi mereka yang memilih untuk pulang, kehidupan perlu diteruskan biarpun tidak sempurna seperti dahulu.
Ketua Kampung Tanjung Batu, Mahmud Mallang, 72, berkata, salah satu perkara yang membimbangkan kira-kira 80 keluarga yang pulang ke kampung itu adalah kekurangan bekalan air.
Katanya, sebelum insiden pencerobohan itu penduduk bergantung kepada dua punca air iaitu pam elektrik dan pam tangan.Walau bagaimanapun, tambahnya, pam elektrik itu sudah hilang dan penduduk kini hanya bergantung kepada pam tangan.
"Hendak diharapkan air hujan, semua tangki besar termasuk empat buah yang diletakkan berhampiran pam elektrik itu bocor akibat ditembak."Tentang makanan kami tidak bimbang kerana ramai yang membantu. Tetapi kami juga perlukan air untuk membersihkan diri dan beribadat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Bagi Muin Hashim, 60, dia tiada pilihan selain tinggal di rumahnya yang berlubang-lubang akibat terkena tembakan.
"Kira-kira pukul 11 malam tadi, hujan lebat menyebabkan kami beberapa kali berpindah tempat tidur bagi mengelak hujan dan tempias."Setelah hujan berhenti kira-kira 12.30 pagi, kami perlu mengelap lantai terlebih dahulu sebelum tidur. Sehari dua ini memang susah tetapi kami anggap semua ini dugaan," katanya.
Sementara itu, penduduk Tanjung Labian, Annas Aukasa, 59, memberitahu, dia dan isterinya, Sitti Sham, 53, mengambil keputusan untuk terus tinggal di pusat penempatan sementara di Tabika Tanjung Batu kerana masih belum bersedia mengemas rumah yang berselerak.
"Barangan kami habis diselongkar dan pakaian juga bersepah. Televisyen dan tong gas dicuri sementara bumbung bocor akibat ditembak," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment