Hanya sehari lagi berbaki sebelum hari pengundian PRK DUN Kuala
Besut, gayanya PAS seperti sudah berputus asa apabila sudah kedengaran
khabar berita beberapa kumpulan jentera pilihan raya PAS khususnya dari
daerah lain di Terengganu beransur pulang ke tempat masing-masing.
Turut terbabit ialah beberapa kumpulan kecil dipercayai dari PAS
Negeri Pahang dan Kedah. Setakat ini tiada kenyataan rasmi yang
menjelaskan sebab musababnya kecuali satu penafian oleh PAS yang
mendakwa jenteranya masih solid.
Menurut beberapa sumber yang rapat dengan PAS Terengganu, kebanyakan
yang mengambil langkah pulang awal ini berbuat demikian sejak pagi dan
tengahari semalam terutama selepas Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim tampil
dalam dua ceramahnya di Kuala Besut pada malamnya (21 Julai) atas
jemputan Naib Presiden PAS, Husam Musa.
Barangkali tindakan ini dilakukan kerana tidak mahu bersekongkol
dengan sikap hipokrit Anwar yang sejak lebih dua bulan lalu kuat
menghentam SPR yang dituduhnya tidak telus atau mungkin juga kerana
merasakan PRK DUN Kuala Besut sudah ‘diKelatekan’ oleh geng Husam.
Kehadiran Anwar pada malam itu walau pun sambutannya sedikit baik
dari ceramah Presiden PAS, Hadi Awang namun sebahagian besar dari
kira-kira 500 dan 600 pendengarnya di dua tempat berasingan itu
merupakan penyokong dan jentera PAS yang diimport dari Kelantan.
Dalam ceramah tersebut Hadi Awang langsung tak kelihatan meskipun
sepatutnya digandingkan bersama bagi memperlihatkan Presiden PAS itu
masih dianggap sebagai tuan rumah kepada pemimpin PAS dan PKR dari luar
Terengganu. Tapi ia tidak terjadi demikian.
Atau mungkinkah kegagalan Husam memberi muka kepada Presiden sendiri
untuk duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan Anwar menjadi punca
sebahagian jentera PAS dari beberapa daerah di Terengganu pulang awal?
Sukar dipastikan walau pun ada kedengaran rungutan sebegitu.
Waktu ini kebanyakan markaz dan pos PAS lebih banyak diduduki jentera
PAS dari Kelantan, sebab itu tidak sukar untuk melihat banyak kenderaan
plet pendaftaran D atau pun sesetengahnya terpapar bendera Kelantan
atau logo Royalti berwarna merah di bumper atau badan kenderaan.
Pun begitu, masih ada lagi segelintir sahaja ahli dan penyokong PAS
tempatan terutama dari Kawasan Besut serta satu dua kawasan lain yang
masih membantu kempen saat akhir barangkali sekadar menunjukkan muka.
Namun demikian, jika keadaan ini berlarutan sampai selesai tempoh
berkempen jam 12 malam nanti, maka ia mengulangi peristiwa pemulauan
oleh jentera PAS sama seperti yang pernah berlaku di PRK DUN Tenang,
Kerdau dan Merlimau sebelum ini.
Yang pastinya, apa yang sedang berlaku di Kuala Besut tika ini
membabitkan jentera PAS ia seperti memberi isyarat jelas yang PAS bakal
berdepan dengan kekalahan yang mungkin lebih bteruk berbanding PRU-13
baru-baru ini.
Apa pun, ini bukannya satu keadaan di mana BN dan UMNO sudah boleh
berpeluk tubuh sambil menggoyang kaki, selagi mana belum tepat jam 12
tengah malam nanti selagi itulah kempen tersusun dari rumah ke rumah
tetap perlu diteruskan supaya esoknya ramai-ramai keluar mengundi BN.
Paling penting, pastikan segala kemudahan pengangkutan untuk pengundi
disediakan, jangan sesekali diabaikan walau seorang pun pengundi.
Selagi mana dapat dikesan kedudukan mereka yang belum keluar mengundi
maka usahakanlah hingga hampir pengundi BN menunaikan tanggungjawabnya.