Wednesday, 27 March 2013

ISU LAHAD DATU : DAKWAAN PENGGANAS RAKYAT MALAYSIA, PEGUAM NEGARA MINTA BUKTI




KUALA LUMPUR 26 Mac - Pihak yang mendakwa lapan pengganas Kiram yang dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Tawau, Sabah, Khamis lalu kononnya rakyat negara ini, diminta tampil mengemukakan bukti.

Sambil menegaskan kelapan-lapan lelaki itu rakyat Filipina, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, pertikaian itu bukannya isu yang perlu dibangkitkan.

‘‘Siapa nak pertikaikan perkara itu, sila datang ke Malaysia dan bagi bukti. Terangkan kepada kita dan mahkamah mereka bukan orang Filipina. Saya tidak kisah,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara kerajaan Malaysia dan Pertubuhan Rundingan Perundangan Asia-Afrika (AALCO) bagi membolehkan Pusat Penimbang Tara Serantau Kuala Lumpur (KLRCA) terus melaksanakan fungsinya di negara ini di sini, hari ini.
Dalam majlis itu, kerajaan diwakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz manakala AALCO diwakili Setiausaha Agungnya, Prof. Rahmat Mohamad.

Akhbar Filipina, The Philippines Daily Inquirer sebelum ini melaporkan bahawa ketua pengganas, Jamalul Kiram III mendakwa lapan lelaki yang dituduh di mahkamah Malaysia bukan rakyat Filipina sebaliknya rakyat negara ini.

Sementara itu, Abdul Gani berkata, baki pengganas yang masih belum dituduh di mahkamah akan turut diambil tindakan sewajarnya.
‘‘Siasatan masih dijalankan. Esok pegawai penyiasat akan datang ke pejabat saya untuk memberi taklimat mengenai mereka yang masih ditahan.

‘‘Kalau terbukti memang ada kesalahan kita akan tuduh. Jika hanya melibatkan kesalahan imigresen, maka kita serah kepada pihak imigresen,’’ katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul Gani berkata, dua hakim Mahkamah Tinggi dilantik mengendalikan kes itu yang diyakini dapat dilaksanakan dengan baik dan cekap.

Katanya, kelapan-lapan tertuduh itu juga akan diberi peluang melantik peguam sebagai memelihara hak dan keadilan mereka.
‘‘Saya telah berbincang dengan Majlis Peguam dan Persatuan Undang-Undang Sabah, mereka sudi membantu mendapatkan peguam bagi pihak tertuduh.

‘‘Tarikh sebutan telah diberikan iaitu pada 12 April depan dan perbicaraan akan bermula dalam masa sebulan dari tarikh tersebut,’’ katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai desas-desus bahawa beliau menjadi mangsa peras ugut pembangkang seperti didakwa oleh Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah, Abdul Gani secara ringkas berkata: ‘‘Itu hanya pandangan dia.’’- UTUSAN

No comments:

Post a Comment