YAN 26 Oktober 2013 – Baharom Ramli, ayah kepada Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir kesal dan kecewa dengan
tindakan Pesuruhjaya PAS Kedah, Mahfuz Omar dan Calon PAS, Azam Samad ke
rumahnya kelmarin telah dijadikan ‘bahan kempen’ untuk Pilihan Raya
Kecil DUN Sungai Limau.
Baharom atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah yang ditemui Terengganu Today dirumahnya
di Ulu Sedaka hari ini, melahirkan rasa terkilan dengan tindakan
pemimpin PAS yang menjadikan kunjungan itu sebagai modal politik yang
boleh menimbulkan persepsi buruk dan fitnah terhadap anaknya.
Walaupun Pak Ngah masih lagi ahli PAS, soal fahaman dan pendirian
politik tidak semestinya diseret bersama dalam hal ehwal keluarga.
Sambil menyifatkan anaknya, Jamil Khir sebagai seorang yang baik dan
bertanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat, Pak Ngah dengan tegas
berkata, tidak ada pergeseran berlaku antara mereka biarpun berbeza
fahaman politik.
“Jamil sendiri tak penah sembang pasal politik dengan Pak Ngah, Jamil
baik dan bertanggungjawab, orang dia memang bagus,” ujarnya yang
mengidap penyakit strok sejak tiga tahun lalu.
Sementara itu, Baharom yang berusia 77 tahun memberitahu, calon BN, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim juga turut melawat beliau pada hari yang sama, tetapi tidaklah pula dihebahkan di mana-mana.
Berkait soal itu, MB Kedah, Dato’ Paduka Mukhriz Mahathir sebelum itu
turut membidas serta mempersoalkan keikhlasan Mahfuz dan Azam yang
mengunjungi Baharom.
Lidah rasmi PAS, Harakah melaporkan, Mahfuz memberitahu, Baharom telah mendoakan agar PAS terus menang di DUN Sungai Limau.
Kejujuran PAS dalam perkara ini terus dipertikaikan, apatah lagi adat
menziarahi orang sakit di mana doa yang sepatutnya dibacakan adalah
demi kesihatan dan kesejahteraan pesakit.
Pak Ngah apabila ditanya mengenai calon PAS memberitahu, calon yang
diletakkan masih muda dan masih banyak yang perlu dipelajari. Katanya
lagi, calon berkenaan adalah pilihan ‘orang atasan’ dan bukan pilihan
masyarakat setempat.
Apabila ditanya adakah kemenangan bakal berpihak kepada PAS, beliau
sekadar menjawab bahawa beliau kurang yakin dan sebenarnya tidak ambil
kisah.
Ini kerana bagi Pak Ngah, mana-mana pemimpin baik dari PAS atau BN di
daerah berkenaan telah menjalankan tanggungjawab dan amanah yang
diberikan kepada mereka dengan baik tanpa mengambil kira fahaman politik
yang berbeza.
“Pak Ngah memang orang PAS… Tapi undi kita tu rahsia, Pak Ngah jadi
orang PAS pun bukan makna Pak Ngah tak boleh nak undi BN”, ujarnya
berseloroh kepada Terengganu Today.
Adat melawat orang sakit, penulis, jurukamera serta dua rakan
wartawan sempat mendoakan bersama-sama untuk kesihatan dan kesejahteraan
Pak Ngah semoga beliau pulih dari penyakit angin ahmar yang
dihidapinya.
BACA SELANJUTNYA DI Terengganu Today
No comments:
Post a Comment