Filem patriotik perjuangan bekas Perdana Menteri,
Tun Abdul Razak Hussein yang dijadual memasuki pawagam di seluruh
negara esok selepas beberapa kali tertangguh, diharamkan penayangannya
di negeri ini atas arahan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Guan Eng berkata, beliau telah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa
Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri,
Chow Kon Yeow menghantar surat kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang
(MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk dimaklumkan
kepada pemilik panggung di negeri ini tentang perkara berkenaan.
"Kita kesal kerana filem tersebut dibenarkan tayangannya oleh
kerajaan tanpa mengeluarkan babak fitnah yang dipaparkan iaitu adegan
pemuda Cina kencing dalam kawasan kediaman rasmi Menteri Besar Selangor.
"Kenapa (adegan) dibiarkan kerana pengarah filem tersebut mengatakan
perkara itu tidak pernah berlaku, namun beliau memasukkan adegan
berkenaan dalam filemnya," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di
sini hari ini.
Mengulas lanjut, Guan Eng menjelaskan, pihaknya berharap permintaan
mereka akan mendapat kerjasama daripada pemilik panggung di negeri ini.
"Kerajaan negeri berharap mereka tidak menayangkan kerana tidak boleh
diterima dan mengandungi perkara sensitif dan amat berbahaya.
"Mereka harus mempertimbangkannya kerana pemberian lesen perniagaan
untuk pawagam di negeri ini tertakluk di bawah pihak berkuasa tempatan
(PBT)," ujarnya.
Menurut Guan Eng, surat berkenaan akan dihantar pada hari ini juga
kerana filem arahan Datuk Shuhaimi Baba itu dijangka mula ditayangkan
serentak di seluruh negara esok.
Filem patriotik berkenaan antara lain mengisahkan tentang perjuangan
Tun Abdul Razak dan timbalannya, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman dalam
mentadbir negara serta cabaran yang dihadapi mereka selepas berlakunya
peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Sebelum ini, tayangan filem lakonan Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah
Elai dan Linda Hashim yang menelan belanja kira-kira RM4.7 juta itu
ditangguhkan beberapa kali ekoran bantahan pembangkang.
No comments:
Post a Comment