TIKAM BATU – “Acik dah tegar dicaci, dimaki dan dianggap gila hanya
kerana mahu ceriakan persekitaran rumah dan restoran mi udang dengan
ratusan bendera Jalur Gemilang sepanjang bulan Kemerdekaan.
Demikian luahan Abdullah Ahmad, 65, atau lebih mesra disapa Acik,
seorang pengusaha mi udang di Batu Lintang, Tikam Batu yang sanggup
berhabis ribuan ringgit demi meluahkan kecintaannya kepada negara.
“Bukan sahaja kanak-kanak yang gelarkan Acik gila, malah ada antara orang tua turut bersikap begitu.
“Acik tidak faham dengan semangat orang sekarang menyambut merdeka,
adakah sekadar melaungkan perkataan itu semata- mata tanpa terdetik di
hati dan meresap ke dalam jiwa mereka,” katanya.
Menurutnya, ada juga masyarakat yang menghargai usahanya apabila
mereka memuji apa yang telah dilakukan selain memberi sokongan serta
dorongan untuk terus beri kesedaran kepada orang ramai tentang erti
kemerdekaan.
“Pengalaman paling pahit apabila kereta yang dihias dengan Jalur
Gemilang serta gambar potret tertentu yang mencerminkan patriotik
dicemuh dan diludah apabila melalui laluan yang dipenuhi orang ramai
dalam satu majlis.
“Mereka menunjukkan tanda protes apabila saya melalui laluan tersebut dengan sikap yang tidak bertamadun,” katanya.
Menceritakan rutinnya menyambut bulan kemerdekaan dengan menghias
rumah serta persekitaran, Abdullah menjelaskan, ia dilakukan sejak tahun
1999 lagi.
“Acik hias Jalur Gemilang bukan sebab mahu masuk pertandingan
semata-mata, tetapi sejak dulu tak masuk pertandingan pun, Acik dah mula
menghias,” katanya.
Mengakui rela menghabiskan hampir RM5,000 untuk menceriakan rumah
serta restorannya dengan Jalur Gemilang, Abdullah berkata, dia
menyediakan Tabung Merdeka bagi mengatur kewangan sepanjang tahun untuk
tujuan berkenaan.
“Tabung Merdeka lain, tabung untuk berniaga lain pula, Acik dah
asingkan siap-siap supaya nanti mudah untuk menyediakan kelengkapan,”
katanya.
Selain menggunakan batang buluh, cat dan bingkai gambar, Abdullah
juga menggunakan barangan terpakai seperti botol kaca, botol plastik,
gelas polisterin, surat khabar, kulit siput, kulit kerang dan beg
plastik ais batu untuk dibuat perhiasan.
“Sebab itu, Acik dianggap gila apabila suatu ketika menghadiri
majlis, Acik kutip semua pinggan dan gelas polisterin yang dibuang
merata-rata untuk dibawa pulang dijadikan perhiasan,” katanya.
Abdullah berkata, semangat kemerdekaan perlu dipupuk supaya rakyat Malaysia tahu menghargai perjuangan pemimpin terdahulu.
Sekiranya ia tidak diberi perhatian atau sekadar mengibarkan Jalur
Gemilang tanpa semangat patriotik, sudah pasti ia memberi impak yang
tidak bernilai.
“Saya lahir semasa sebelum merdeka, oleh itu peristiwa Hari Merdeka 31 Ogos 1957 akan kekal dalam ingatan sampai bila-bila.
“Ketika itu, saya masih kecil, tetapi tahu mahu menyambut kemerdekaan
apabila semua ahli keluarga tidak kira kecil atau besar sama-sama
menuju ke Bandar Hilir, Melaka.
“Kami hanya berjalan kaki dari Sungai Udang, walaupun penat akibat
berjalan jauh tetapi selepas itu, perasaan gembira, lega dan bersyukur
kami rasai. Apabila saya besar, baru saya sedar tentang kemerdekaan yang
perlu dipertahankan kerana penat jerih pemimpin kemerdekaan berjuang
untuk mendapat kejayaan ini,” katanya.
Beliau juga menyarankan agar lebih banyak pihak menyokong usaha tersebut secara berterusan.
“Alangkah baiknya sekiranya Jalur Gemilang dipasang sentiasa seperti
mana perang bendera semasa pilihan raya, kerana saya lihat lebih ramai
yang gemar pasang bendera politik menjelang hari mengundi.
“Sekiranya semua orang mempraktikkan benda yang sama, sudah pasti ia
menjadi satu kekurangan sekiranya ada antara individu atau mana-mana
pihak yang mengabaikan pemasangan Jalur Gemilang menjelang Hari
Merdeka,” katanya.
Baca seterusnya di Terengganu
Kami adalah regular customer mi udang achik.memang cantik restoren dgn hiasan jalur gemilangnya.kalau pi mesti ambik gambar punya.tahniah achik....
ReplyDeleteBialah dia ..dia smangat ...Blogwalking here.,...btw,,visit and follow me on shukranzahari.blogspot.com ..Happy blogging
ReplyDelete