Wednesday, 28 August 2013

SAMY VELLU DIMINTA BERHENTI CAMPURI URUSAN PARTI MIC




Datuk Seri S. Samy Vellu diminta supaya berhenti mencampuri urusan parti kerana era pemerintahan bekas Presiden MIC itu telah lama berakhir.
Aktivis MIC, Datuk R. Ramanan berkata, tindakan Samy yang sering mengkritik secara terbuka kepimpinan Datuk Seri G. Palanivel sejak akhir-akhir ini mencetuskan keadaan 'huru-hara' dalam parti.
Menurutnya, campur tangan Samy Vellu dalam hal parti juga menimbulkan tanda tanya sekiranya bermotifkan agenda tersendiri memandangkan pemilihan parti bermula bulan hadapan.
"Saya mohon supaya Samy hentikan perbuatan sia-sianya dengan mengkritik kepimpinan Palanivel. Beliau telah lama mengundur diri daripada jawatan Presiden namun kadang-kadang tindak tanduknya seperti masih menguasai parti.
"Palanivel baru sahaja mula menerajui parti tiga tahun ini manakala Samy sudah menjadi Presiden parti lebih 33 tahun. Sudah tentu Samy boleh bercakap seolah-olah beliau adalah pejuang sebenar," katanya di sini hari ini.
Ramanan mengulas kenyataan Samy Vellu dalam temu bual khas dengan sebuah portal berbahasa Inggeris Ahad lepas yang menyifatkan Palanivel sebagai seorang pemimpin lemah dan tidak banyak berjuang untuk rakyat.
Samy Vellu turut melahirkan rasa kecewa dengan sikap berpeluk tubuh penggantinya itu dalam isu-isu membabitkan kaum India malah menuduh Palanivel seperti lupa diri.
Ramanan turut mempersoalkan sikap Samy Vellu yang sengaja cuba memburukkan Palanivel pada saat-saat akhir pemilihan parti berikutan kekecewaan beliau ekoran pemecatan anak sulungnya, Vel Paari daripada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) bulan lepas.
"Sebenarnya, Samy bercakap seperti tidak waras, adakah kerana selama ini beliau sibuk berkempen untuk Datuk Seri S. Subramaniam untuk menggantikan Palanivel tidak kesampaian? Adakah juga kerana anaknya telah dipecat dari CWC?
"Walau apapun alasan Samy, kami lebih memerlukan Palanivel daripada beliau. Samy harus sedar perkara ini sebelum terlambat. Janganlah merosakkan keharmonian yang telah terbina ketika ini dalam parti," tegasnya.
Samy Vellu yang menjadi Menteri Kabinet sejak 1974, tewas dalam Pilihan Raya Umum 2008 apabila sokongan kaum India terhadap parti itu merosot di sebalik pelbagai tuduhan-tuduhan terhadap parti itu di bawah teraju beliau.
Sungguhpun kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, Samy Vellu masih dilihat mempunyai pengaruh kuat di dalam parti itu khususnya dalam kalangan 4,000 pengerusi cawangan MIC yang akan mengundi dalam pemilihan parti berkenaan.

sumber : Utusan

No comments:

Post a comment