Monday, 26 August 2013

PHOTO :PEMBUNUHAN BERAMAI-RAMAI D SYRIA...BILA AKAN BERAKHIR PENDERITAAN





RABU lalu tentera rejim Presiden Bashar al-Assad membunuh lebih 1,300 orang awam termasuk kanak-kanak menggunakan gas saraf, sejenis senjata kimia yang boleh membunuh dalam masa sepuluh minit. Difahamkan serangan dengan menggunakan roket yang mengandungi gas saraf itu dilakukan ketika mangsa nyenyak tidur di kawasan pinggir bandar seperti Ain Tarma, Zamalka dan Jobar di Ghouta.

Ini memang perbuatan yang tidak berperikemanusiaan. Tetapi mempersoalkan kemanusiaan sahaja tidak memberikan penyelesaian kecuali melihat tragedi ini dari pangkalnya. Lebih menimbulkan persoalan lagi apabila dilakukan oleh pemimpin Islam terhadap rakyatnya yang juga orang Islam.

Ini adalah pembunuhan beramai-ramai kedua dalam masa terdekat selepas tentera Mesir menembak mati lebih 3,000 orang dua minggu lalu. Kedua-dua pembunuhan beramai-ramai ini dilakukan oleh tentera kerajaan terhadap orang awam.

Sebenarnya penggunaan gas beracun untuk membunuh mangsa dalam kuantiti yang banyak dan masa yang singkat bukan perkara baharu bagi kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS). Dalam Perang Dunia Kedua, Hitler menggunakan gas beracun untuk membunuh berjuta-juta orang Yahudi di Jerman. Dalam Perang Vietnam tahun 1975, tentera AS menggunakan senjata kimia Orange Agent dan kesan biologi terhadap mangsa dan keturunannya kekal hingga kini.

Begitu juga dengan pembunuhan beramai-ramai seperti di kem pelarian Sabra dan Satila oleh tentera Zionis Israel terhadap kanak-kanak Palestin, My Lai di Vietnam tahun 1968 oleh tentera AS dan di Nanking (Nanjing), China oleh tentera Jepun.

Persoalannya kenapa pembunuhan beramai-ramai kini berlaku di negara Islam seperti Syria? Kenapa pula diktator “peminum darah” seperti Bashar masih terus hidup dan mengganas? Siapakah sebenarnya yang memainkan peranan dalam memberikan gambaran bahawa kini pemimpin Islam sudah setaraf jahatnya dengan Hitler di Jerman atau Pol Pot di Kemboja?

Syria sama seperti Mesir yang kini menjadi papan catur kuasa besar untuk AS dan Rusia. Penglibatan secara terancang AS dan Rusia di Syria menjadikan negara Islam ini medan menguji dan memasarkan senjata pembunuh. Bashar mendapat sokongan kuat daripada Rusia, Iran dan China, sementara tentera pejuang mendapat sokongan AS.

Dalam perkembangan terbaru, AS kini menunggu arahan Presiden Barack Obama untuk menyerang Syria. Ini tidak memeranjatkan kerana Bashar disokong oleh Rusia dan China. AS pula menyokong pejuang rakyat. Kuasa besar ini berperang di Syria menggunakan rakyat dengan memanipulasikan sentimen perbezaan fahaman antara Sunnah Wal Jamaah dan Syiah.

Setiausaha Negara AS, John Kerry mengakui Iraq yang kini dikuasai oleh Syiah membantu rejim Bashar dengan persetujuan Iran. Iraq yang dulunya dikuasai oleh Sunnah Wal Jamaah semasa era Saddam Hussein kini beralih kepada Syiah. Lihatlah permainan catur kuasa besar. Di Iraq, AS menyokong Syiah untuk memerangi Sunnah Wal Jamaah pimpinan Saddam. Tetapi di Syria AS menyokong pejuang yang terdiri daripada Sunnah Wal Jamaah memerangi rejim Bashar yang menganut fahaman Syiah. Ini membuktikan permainan kuasa besar berubah mengikut di mana ‘papan catur’ itu berada dan apa kepentingannya kepada AS.

Sentimen fahaman agama di Syria membuka laluan kepada kuasa asing memainkan peranan untuk meraih kuasa. Seperti yang semua orang tahu bahawa fahaman Syiah mewajarkan pembunuhan terhadap ahli Sunnah Wal Jamaah. Ini digunakan oleh kuasa besar untuk menyalakan sentimen perbezaan fahaman agama. Itulah sebabnya berlaku pembunuhan beramai-ramai oleh pemimpin penyokong Syiah.

Syria atau Mesir tidak akan terperangkap dalam momokan ‘Musim Bunga Arab’ dan seterusnya perang saudara tanpa penglibatan kuasa asing. Perang saudara di Syria sejak 2011 telah mengorbankan lebih 100,000 nyawa sebahagian besarnya orang awam dan sekurang-kurangnya 1.7 juta rakyat menjadi pelarian ke negara jiran. Semua ini mencetuskan krisis kemanusiaan yang sangat buruk.

Rejim Dinasti Bashar yang memerintah Syria sejak tahun 1970 adalah daripada fahaman Syiah yang cuma suku daripada jumlah orang Islam Syria. Selebihnya adalah ahli Sunnah Wal Jamaah. Tetapi Syiah lebih kuat kerana menumpang rejim Bashar dengan sokongan kuasa asing. Malah sebelum tragedi gas beracun ini, tentera rejim Bashar juga melancarkan serangan ke atas perkampungan ahli Sunnah Wal Jamaah. 

Gambar-gambar sekumpulan kanak-kanak dan orang dewasa yang mati seperti sedang nyenyak tidur kerana gas beracun disebarkan ke seluruh dunia. Gambar-gambar ini memperihalkan bahawa pembunuhan beramai-ramai dan tindakan di luar perikemanusiaan kini berlaku di negara Islam dan oleh orang Islam.

Tragedi ini dengan sendirinya memadamkan pembunuhan beramai-ramai oleh tentera zionis Israel yang menjadi proksi AS di kem Sabra dan Satila. Sementara Perang Dingin antara AS dan Kesatuan Soviet tidak berakhir dengan runtuhnya negara-negara blok komunis dua dekad lalu. Kini Rusia yang dulunya sebahagian Kesatuan Soviet terus menjadi sasaran AS. Di papan catur Syria telah terbukti semuanya.

Tindakan Bashar membunuh dengan gas beracun memberi lesen kepada AS untuk menyerang Syria atas alasan memulihkan demokrasi dan hak asasi manusia. AS yang menaja kebangkitan rakyat dalam ‘Musim Bunga Arab’ digambarkan sebagai pejuang keadilan dan kemanusiaan sejagat.

Setiausaha Pertahanan AS, Chuck Hagel mendakwa rejim Bashar menggunakan senjata kimia dalam skala yang kecil tetapi tetap menyalahi mana-mana konvensyen perang antarabangsa. Ini seolah-olah AS tidak pernah membuat perkara yang sama terhadap musuh-musuhnya. Tetapi dari sudut sejarahnya, penggunaan senjata kimia oleh Syria bukan perkara baharu malah pernah digunakan pada kurun ketiga semasa memerangi Rom.

Sebenarnya dakwaan Chuck Hagel boleh dilihat sebagai perang psikologi terhadap musuh AS itu. Tetapi yang pasti pembunuhan beramai-ramai memang benar berlaku di negara yang menjulang tamadun Islam.

Badan dunia seperti Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) dan Liga Arab tidak memperlihatkan kesungguhan dalam isu pembunuhan beramai-ramai ini. Tidak ada tindakan proaktif kecuali mengeluarkan kenyataan retorik yang tidak memberi apa-apa kesan terhadap konflik ini. Hebat sangatkah Bashar hingga Majlis Keselamatan PBB tidak boleh melakukan pemeriksaan senjata kimia selepas tragedi ini? Atau adakah ini disebabkan oleh Majlis Keselamatan yang turut dianggotai oleh Rusia dan China yang sememangnya melindungi Syria?

Di negara kita, puak perusuh yang hanya disembur oleh meriam air mendapat perhatian badan hak asasi dunia seperti Amnesty International serta banyak lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang menganggap itu suatu pencabulan terhadap hak asasi manusia. Tetapi di mana suara Amnesty International terhadap pembunuhan beramai-ramai di Syria? Kenapa mereka hanya heboh apabila perusuh disembur air tetapi diam apabila rejim peminum darah membunuh orang awam?

Ada sesetengah puak mahu menjadikan negara ini sebagai papan catur kuasa asing. Tetapi pihak yang waras ambillah iktibar dari tragedi di dunia Arab termasuk di Syria dan jangan sama sekali membiarkan negara menjadi papan catur kuasa asing, walau dalam apa bentuk sekalipun.

1 comment:

  1. it's because stupid why Islam and islam must fight.

    ReplyDelete