SELEPAS debaran menanti bila Parlimen dibubarkan dan bila Pilihan
Raya Umum Ke-13 diadakan berakhir, kini wujud pula debaran siapa yang
bakal menjadi calon bagi membawa panji-panji Barisan Nasional (BN)
dalam pilihan raya tersebut.
Sememangnya sementara menanti keputusan muktamad dan pengumuman
secara rasmi dilakukan oleh pucuk pimpinan parti debaran semakin
kencang. Ada sesetengahnya tidur tak lena kerana memikirkan akan
terpilih atau tidak.
Selalunya sindrom ini `menjangkiti' pemimpin-pemimpin yang
mempunyai jawatan di peringkat bahagian khususnya dalam UMNO. Ada
antara mereka masih mahu melawan arus menyatakan dialah calon boleh
menang biar pun kalau diikutkan, umum namapun sudah kalah.
Malahan sudah ada ketua-ketua bahagian yang bertanding dalam
pilihan raya umum lalu tetapi kalah menaruh harapan untuk dipilih
sekali lagi dengan alasan, dulu mereka kalah kerana tsunami politik.
Kata mereka, masa tu ramai yang kalah.
Ada pula ketua bahagian yang selama ini tidak pernah ada di kawasan
secara tiba-tiba muncul melaksanakan pelbagai program dengan harapan
terpilih sebagai calon.
Semua ini adalah drama-drama sebabak yang ditonjolkan oleh
pemimpin-pemimpin berkenaan termasuklah ada antara mereka yang sudah
berpuluh-puluh tahun menjadi wakil rakyat masih mahu menongkat langit
dengan alasan dia calon boleh menang sedangkan maklumat yang diterima,
hendak dapat 50 peratus sokongan rakyat di kawasannya pun susah.
Apa pun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah menegaskan
pemilihan calon BN turut bergantung kepada penerimaan rakyat,
kemampuan dan rekod pencapaian calon selain mengambil kira pertimbangan
yang adil antara parti komponen BN.
Selain itu Najib menggariskan bahawa kriteria calon boleh menang BN
ialah peribadi, kebolehan, ketokohan dan pengalaman individu menjadi
asas dalam pemilihan.
Justeru tidak perlulah mana-mana pemimpin-pemimpin sama ada di
peringkat pusat atau bahagian mendabik dada kononnya mereka berada
dalam kategori calon boleh menang. Ini memandangkan sama ada boleh
menang atau tidak bukan mereka yang tentukan tetapi rakyat.
Oleh itu, dalam soal ini adalah penting jika pemilihan calon kali
ini dilakukan secara berhati-hati dengan mengambil kira pandangan
rakyat dan laporan agensi-agensi yang dipertanggungjawabkan.
Ia memandangkan jika BN tersilap langkah dalam membuat perhitungan
semata-mata untuk menjaga hati mana-mana pemimpin maka yang akan
menanggung akibat adalah parti.
Dalam berhadapan pilihan raya umum yang cukup getir ini, BN dan
UMNO perlu memastikan calon yang dipilih diterima oleh rakyat dan
bukannya pemimpin yang mengamalkan sikap `syok sendiri' kononnya dia
masih boleh menang.
Malahan jangan ada pandangan kononnya kalau seseorang pemimpin itu
tidak terpilih ia boleh membawa bencana kepada peluang BN. Bagi
pemimpin seumpama ini, kalau betul rakyat mahukan dia tetapi tidak
dipilih oleh parti mungkin ia bencana untuk parti tetapi kalau dia
memang tidak dikehendaki oleh rakyat tetapi dipilih oleh parti maka
itu adalah bencana yang sengaja diundang.
Justeru kepada pemimpin-pemimpin yang berhasrat masih mahu menjadi
calon atau berasa layak menjadi calon sedangkan, dia sendiri memahami
bagaimana penerimaan rakyat di kawasannya maka belajar-belajarlah
menilai diri dan bermuhasabah.
Pilihan Raya Umum Ke-13 bukannya medan untuk survival politik
mana-mana individu tidak kira apa juga jawatannya di peringkat pusat,
bahagian mahupun negeri. Kalau kajian menunjukkan pencalonannya boleh
mengundang kekalahan atau bencana kepada parti maka terima sahaja
dengan terbuka keputusan pucuk pimpinan.
Memanglah semua orang merasakan dirinya layak, apatah lagi kalau
dia memegang jawatan di peringkat bahagian tetapi itu bukan jaminan
pencalonannya boleh membawa kemenangan kepada parti.
Apa yang lebih utama seperti mana kata Najib, kepentingan parti
harus mengatasi kepentingan individu. Kalau benarlah mereka sayangkan
parti dan mahu memastikan kedudukan bangsa, agama dan negara tidak
digugat oleh pakatan pembangkang maka bersedialah untuk tidak
dicalonkan.
Kita percaya setiap keputusan dalam soal pemilihan calon ini akan
dilakukan dengan penuh hati-hati dan kebijaksanaan oleh pucuk pimpinan
parti demi memastikan kemenangan yang diidam-idamkan tercapai.
Kecewa dan sedih tidak salah tetapi jangan sampai bertindak sebagai
pengkhianat apabila tidak terpilih sebagai calon kerana bak kata
Najib, "Jika kita faham kenapa pilihan raya diadakan, kita takkan
benarkan perasaan dan pertimbangan lain menggantikan pertimbangan untuk
parti, seelok-eloknya kalau kecewa pun dalam tempoh 24 jam sahaja.
Lepas itu kena turun padang.''
Semoga pesanan Perdana Menteri ini akan menjadi iktibar kepada
mereka yang tidak terpilih sebagai calon agar impian BN untuk
meneruskan kesinambungan perjuangan demi bangsa, agama dan negara
tidak dikhianati dari dalam. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment