Tuesday, 2 April 2013

ISU TWITTER KHAIRUL FAHMI : UTUSAN PULAK YANG AKAN KENA SAMAN???



Selepas menerima pelbagai kecaman akibat mesej kontroversi di akaun Twitternya Rabu lalu, Penolong Setiausaha 1, Dewan Pemuda Pas Pusat, Khairul Fahmi Mat Som menyalahkan akhbar Utusan Malaysia pula dalam hal itu.
 
Menurutnya, mesej Twitter tersebut telah disalahtafsir akhbar ini dan justeru, saman akan difailkan terhadap Utusan Malaysia.

"Saya dikatakan menghina Nabi SAW. Utusan telah salah tafsir tweet saya. Saya menafikan bahawa saya hina Nabi SAW. Saman akan difailkan," katanya dalam satu mesej Twitter semalam.

Khairul Fahmi didakwa bertindak biadab dengan membuat kenyataan mengaitkan video seks, Nabi Muhammad SAW dan UMNO menerusi laman Twitternya 27 Mac lalu.

Dalam kenyataan pada pukul 11.58 pagi itu, pemimpin Dewan Pemuda Pas tersebut menyebut: Kalau Nabi Muhammad SAW masih hidup sekarang ni, mungkin video seks baginda pun UMNO akan keluarkan...jahanam UMNO.

Ekoran kenyataan itu, Penasihat Agama Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot mengingatkan semua pihak terutama pemimpin politik agar tidak mengheret dan menyentuh keperibadian Rasulullah SAW demi kepentingan peribadi serta politik.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pula berkata, tindakan tersebut tidak seharusnya dilakukan oleh seorang pemimpin yang memperjuangkan agama Islam dan perbuatan itu patut dikecam.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam memberitahu, perbuatan pemimpin itu yang merupakan ahli kepada parti yang kononnya berasaskan Islam tidak boleh diterima sama sekali.

Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Jalur Tiga (Jati) dam Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pula mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Khairul Fahmi berhubung mesejnya di laman sosial tersebut.

Dua laporan polis juga telah dibuat Perkasa bagi menuntut pihak polis dan jabatan agama Islam menjalankan siasatan terperinci terhadap mesej Khairul Fahmi itu - utusan

No comments:

Post a Comment