Ibrahim Ali akan mempertimbangkan pelawaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr.
Mahathir Mohamad untuk bertanding di atas tiket Barisan Nasional (BN)
pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Beliau sangat menghargai pelawaan itu kerana sebelum ini pernah
berkhidmat di dalam UMNO bermula dari peringkat Pemuda, exco Pemuda,
ketua bahagian dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
"Saya hargailah pandangan Tun (Dr. Mahathir) terhadap diri saya
kerana mungkin dia ikuti dan mengenali saya dengan agak lama, dan dia
tahu baik buruk saya. Saya terserah, hanya nak berkhidmat kepada rakyat
dan hanya nak berjuang untuk agama bangsa dan negara.
"Saya bukan saja akan pertimbangkan, tetapi kalau diberi kesempatan
ingin kembali kepada UMNO kerana saya orang UMNO, asalnya saya pemimpin
UMNO. Cuma dulu ada sedikit pergeseran kerana saya digugur sebagai ketua
bahagian selepas persempadanan semula," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis
Ramah Mesra Bersama Masyarakat Sabah Pasir Gudang di Dewanraya Jalan
Suria, Bandar Seri Alam, dekat sini malam tadi.
Yang turut hadir adalah Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed
Ali; Ahli Dewan Tertinggi Perkasa, Leftenan Jeneral (B) Datuk Mohd.
Salleh Ismail dan Laksamana Madya (B) Datuk Mat Rabi Abu Samah; Timbalan
Yang Dipertua Perkasa Johor, Samat Atan dan wakil rakyat Sabah di
Johor, Mohamed Basaran.
Majlis itu dihadiri kira-kira 1,000 penduduk termasuk kira-kira 600 masyarakat Sulu di sekitar Pasir Gudang.
Menurut Ibrahim, beliau tidak pernah melakukan sebarang kesalahan
ketika di dalam UMNO dan pengguguran tersebut mencabar maruahnya,
menyebabkan dia melakukan 'sedikit' tindak balas.
"Mungkin waktu itu saya terlanjur sedikit, tetapi kita kena lihat apa
yang terjadi. Itulah buktinya saya kasih kepada UMNO, kalau digugur dan
tidak lawan maknanya saya tidak sayangkan UMNO.
"Tetapi saya begitu sentimental dengan UMNO, sebab itu saya lawan.
Saya tiada berjumpa dengan sesiapa tentang hal ini (tiket BN), saya
mahukan kestabilan politik negara," katanya.
Ibrahim kali pertama menjadi Ahli Parlimen pada 1986 mewakili BN
sebelum keluar UMNO untuk menyertai Semangat 46 dan kalah dalam pilihan
raya umum berikutnya.
Beliau kemudian bertanding atas tiket bebas pada pilihan raya umum
2004 dan dalam pilihan raya empat tahun kemudian menang atas tiket Pas
tetapi mengumumkan beliau wakil rakyat bebas yang mesra BN. - UTUSAN
ONLINE
No comments:
Post a Comment