LAHAD DATU: Anak lelaki kepada bekas Ketua Kampung Tanduo dipercayai merupakan orang tempatan yang menjadi penyelaras kepada kumpulan pengganas bersenjata Sulu.
Dia merupakan seorang daripada empat orang yang ditahan, merupakan individu yang memainkan peranan penting dengan kumpulan pengganas yang ditahan dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Seorang lagi ialah komander tentera kumpulan pengganas Sulu, ditangkap ketika bersembunyi di kawasan paya di Semporna ketika pihak polis sedang melumpuhkan kumpulan pengganas Sulu yang beroperasi di sana dan Lahad Datu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kedua-dua individu penting itu ditahan bersama-sama isteri masing-masing.Sementara itu, Khalid mengesahkan lelaki tempatan yang ditahan berusia awal 40-an itu, itangkap bersama isterinya di satu kawasan di kampung tersebut pukul 10 malam Jumaat.
Beliau berkata lelaki berkenaan memiliki kad pengenalan Malaysia, katanya kepada pemberita.Komander tentera yang ditahan itu kini ditahan di bawah Akta Imigresen bagi mengesahkan identiti serta dokumen pengenalan dirinya.
"'Local coordinator' itu dikenal pasti sebagai individu yang bertindak mengatur makan dan minum, tempat tinggal, kenderaan serta perubatan kepada militan Sulu sejak daripada awal pencerobohan.
"Dengan penahanan 'military commander' atau pemerintah tentera Sulu serta tali barut pengganas ini, saya berpendapat kumpulan militan kini lumpuh dengan tertangkapnya dua individu terbabit," katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi Felda Sahabat 16 pada Sabtu.
Khalid berkata dengan penangkapan dua individu terbabit, beliau percaya pergerakan saki-baki pengganas kini semakin terbatas dan lemah ekoran kehilangan arah selain tidak lagi mendapat bantuan daripada warga tempatan.
Sambil merakam penghargaan kepada masyarakat yang membantu memberikan maklumat sehingga tertangkapnya individu paling dikehendaki itu, Khalid berkata Operasi Daulat yang memasuki hari ke-19 hari ini tetap diteruskan dan membayangkan masyarakat sekitar Lahad Datu akan kembali meneruskan kehidupan seperti biasa tidak lama lagi.
Berhubung statistik terkini Operasi Daulat, beliau berkata sehingga kini 408 orang ditahan atas pelbagai kesalahan dengan jumlah pengganas yang ditembak mati kekal 63 orang.
Katanya sejumlah 38 mayat berjaya dikeluarkan dari kawasan operasi termasuk lapan yang dikeluarkan dari Kampung Tanjung Batu semalam dan sedang melalui proses bedah siasat di Hospital Lahad Datu.
Berkenaan kejadian di Kembara Sakti semalam, Khalid berkata jumlah pasukan keselamatan di perkampungan itu kini ditambah bagi memberi keyakinan kepada penduduk untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.
"Tidak ada sebab untuk mereka merasa takut dan saya nasihatkan semua ahli masyarakat, penduduk dan pekerja ladang di Kembara Sakti supaya kembali ke rumah masing-masing kerana pasukan keselamatan sentiasa melindungi mereka," katanya.
Beliau berkata siasatan awal polis mendapati perkara itu hanya satu khabar angin yang diperbesar-besarkan sehingga mendatangkan kerisauan kepada penduduk.Kira-kira 1,000 penduduk di kampung Kembara Sakti dilapor bertindak berpindah ke sekolah agama serta masjid berdekatan selepas seorang suri rumah mendakwa dia yang bersendirian di rumahnya didatangi empat pengganas yang kelaparan dan mengikat kedua-dua kaki dan tangannya.Wanita itu bagaimanapun dikatakan berjaya melepaskan diri ketika militan terbabit leka mencari makanan.
No comments:
Post a Comment