UPDATE LAHAD DATU : LAUNGAN TAKBIR PERISAI KAMI KETIKA DISERANG - KOMANDO v69
Kuala
Lumpur, 25 Mac - Dalam keadaan musuh menyerang bertalu-talu dan anggota
pasukan komando VAT69 ini membalas tembakan mempertahan diri dan
negara, dalam insiden 1 Mac lepas, Kpl Mohamad Asrul Osman tidak sedar
rakan di sebelahnya gugur dalam pertempuran selama sejam itu.
Beliau berkata laungan 'Allahhuakbar' menjadi perisai ketika diserang
musuh yang jaraknya agak dekat dalam insiden pencerobohan pengganas
militan di Lahad Datu, Sabah.
"Ketika pertempuran saya meniarap
bersebelahan arwah (Sjn Sabaruddin Daud, 46)...Kami diserang
bertalu-talu dan angin daripada tembakan itu memang jelas dirasai
betul-betul di sebelah telinga saya.
"Saya tidak sangka
tembakan itu mengenai Sabaruddin dan hanya mengetahuinya apabila saya
menepuk belakang beliau untuk berundur, tetapi beliau sudah kaku ketika
itu," katanya kepada Bernama, di sini hari ini
Mohamad Asrul,
33, berkata beliau cedera pada cuping telinga dan kolar pakaian
seragamnya koyak rabak dalam pertempuran yang turut mengorbankan ASP
Zulkifli Mamat.
"Meskipun hati sebak melihat rakan gugur, ia
tidak menjadi kekangan pada saya untuk meneruskan perjuangan demi
membela tanah air," katanya.
Semangat juang yang ditunjukkan pasukan keselamatan negara itu berjaya membunuh 15 musuh.
Beliau berkata kira-kira pukul 5 petang hingga keesokannya harinya (2
Mac) semua pegawai dan anggota diletak dalam keadaan siap siaga bagi
menumpaskan pengganas.
"Sehingga kini saya masih terbayang kejadian menimpa Allahyarham," katanya.
Beliau berkata pengalaman bertempur dengan pengganas yang merupakan
pengalaman pertama baginya itu, mendidiknya menjadi lebih berani dan
sanggup mempertaruh nyawa sendiri demi menjaga kedaulatan negara.
"Saya masuk Komando pada 2003, insiden pencerobohan di Lahad Datu
memberi peluang kepada saya merasai sendiri apa apa yang telah orang
lama ceritakan mengenai pertempuran dengan komunis dan bagaimana
perasaan bertempur dalam
situasi sebenar," katanya.
Mengambil pendekatan untuk tidak merisaukan orang tersayang, Mohamad
Asrul berkata beliau memberitahu ibunya bahawa beliau sedang mengikuti
kursus.
"Isteri saya pula hanya dimaklumkan bahawa saya
terlibat dalam pertempuran ini tetapi tidak pernah memberitahunya apa
yang saya lalui termasuk kecederaan yang saya alami," katanya.- BERNAMA
No comments:
Post a Comment