TERKINI LAHAD DATU: PENGGANAS MULA MENCURI MAKANAN KERANA KELAPARAN

 
Bagan
 Datoh, 16 Mac - Kerajaan akan berbincang dengan pihak berkuasa bagi 
membenarkan diplomat Filipina di negara ini melawat suspek pengganas 
Sulu yang ditahan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid 
Hamidi.
 
 Katanya beliau akan berbincang dengan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Polis Diraja Malaysia bagi tujuan itu.
 
 Diplomat Filipina termasuk dutanya di Kuala Lumpur mungkin dibenar 
melawat selepas urusan soal siasat oleh pihak keselamatan ke atas suspek
 selesai sepenuhnya.
 
 Pada masa yang sama Ahmad Zahid juga 
menyangkal laporan portal berita Philippine Daily Inquirer bahawa 
Malaysia menyekat pasukan kemanusiaan dan media Filipina daripada 
berjumpa dengan rakyat negara itu yang ditahan di pusat pemindahan di 
Lahad Datu.
 
 Menurut Ahmad Zahid semua media asing termasuk dari
 Filipina bukan sahaja dibenar berada di pusat media di Felda Sahabat 
tetapi juga dibawa ke kawasan Operasi Daulat bagi mendapat gambaran 
sebenar, susulan ada dakwaan pihak keselamatan negara ini bertindak 
zalim dan mengetepikan hak asasi manusia.
     
 Mengulas 
perkembangan terkini di Lahad Datu, Ahmad Zahid berkata saki-baki 
kumpulan pengganas itu semakin terdesak akibat ketiadaan bekalan makanan
 dan minuman kerana dikepung pihak keselamatan di kawasan kecil.
 
 "Ketuanya telah meninggalkan mereka, moral mereka terlalu rendah 
sekarang dan masyarakat di Sabah tidak menyokong tindakan mereka, 
ertinya  mereka tidak dapat bantuan maklumat dan juga sokongan moral 
keturunan Sulu di negeri Sabah," katanya.
 
 Beliau berkata ada antara pengganas terbabit dilapor mencuri makanan di rumah kongsi dan kedai makan.
 
 "Kita harap masyarakat setempat dapat lebih berhati-hati kerana mereka 
lapar dan tindakan mereka lebih agresif," katanya. - BERNAMA
 
 
 
          
      
 
  
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment