Thursday, 11 April 2013

NAJIB AKAN UMUM SENARAI PENUH CALON BN PADA HARI JUMAAT 12 APRIL???




Senarai penuh calon yang bakal mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 akan diumumkan dalam minggu ini berikutan masih terdapat beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang belum dimuktamadkan.
 
Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pucuk pimpinan parti memerlukan sedikit masa lagi bagi memuktamadkan senarai calon memandangkan perlu mengambil kira banyak faktor selain penentuannya yang rumit serta kompleks.

Menurut Perdana Menteri, tiga kriteria utama dinilai dalam menentukan bakal calon iaitu bebas daripada masalah peribadi, diterima pengundi serta mengambil kira faktor keseimbangan dalam BN.

Jelasnya, keutamaan BN dalam pilihan raya umum kali ini adalah memastikan parti itu berupaya membentuk kerajaan yang kuat sama ada di peringkat negeri mahupun Pusat dan bukan bermotifkan kepentingan peribadi pemimpin tertentu.

"Mustahil untuk parti memenuhi kehendak semua pihak atau memberi kepuasan kepada semua individu. Perkara itu tidak mungkin berlaku. Sebab itu penting bagi kita memahami hakikat ini seterusnya menerima objektif utama iaitu membentuk kerajaan yang kuat.

"Menjadi calon hanya proses ke arah mencapai objektif untuk membentuk sebuah kerajaan yang kuat di peringkat negeri dan nasional. Sekiranya faham perkara ini, kita tidak akan biar perasaan lain menggantikan pertimbangan kepada parti," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin-pemimpin di peringkat bahagian yang turut disertai Timbalan Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta semua pemimpin parti-parti komponen BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Mengulas lanjut ciri-ciri calon boleh menang yang bakal dipilih mewakili BN, Najib berkata, seseorang pemimpin itu perlu memiliki kebolehan, ketokohan, pengalaman, rekod perkhidmatan serta bebas daripada masalah peribadi dan diterima rakyat.

"Namun faktor-faktor perseimbangan yang adil antara parti komponen sebagaimana yang disepakati serta sayap-sayap parti juga diambil kira.

"Misalnya Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri ada memohon calon-calon mereka dipertimbangkan," katanya.

No comments:

Post a Comment