BERIKUT ialah teks ucapan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pembubaran Parlimen Malaysia ke-12 pada Rabu.
Bismillahirahmanirahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
1. Pertama-tamanya marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat
Allah SWT kerana dengan izin dan rahmatnya saya, Timbalan Perdana
Menteri dan anggota jemaah menteri dapat bersama-sama secara langsung
dengan Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian pada pagi ini.
2. Saya ingin memaklumkan kepada rakyat Malaysia bahawa pada pagi ini
saya telah pun menghadap Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan
menyembah warkah kepada Baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-12
dibubarkan pada hari ini Rabu, 3 April 2013. Sehubungan dengan itu
selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan baginda telah pun
memperkenankan bagi Parlimen Ke-12 dibubarkan berkuat kuasa hari ini.
3. Sehubungan dengan itu saya menasihatkan kepada ketua-ketua
kerajaan negeri yang berkenaan untuk menghadap Ketua-ketua Negeri mereka
bagi mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri masing-masing
agar pilihan raya umum dapat diselaraskan secara serentak di seluruh
negara.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
4. Hari ini, 4 tahun yang lalu, pada tanggal 3 April 2009, saya telah
pun mengangkat sumpah untuk memikul amanah serta tanggungjawab sebagai
Perdana Menteri negara Malaysia yang tercinta. Dalam tempoh tersebut
saya bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, anggota Jemaah Menteri dan
anggota-anggota pentadbiran yang lain telah dengan segala ikhtiar serta
upaya mencetus dan melaksanakan perubahan dan pembaharuan berpaksikan
kepada Falsafah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan
serta dipandu oleh Dasar Transformasi Nasional.
5. Dalam tempoh empat tahun yang lepas rakyat Malaysia telah dapat
mengalami dan menyaksikan sendiri bagaimana fasa perancangan Prakarsa
Transformasi Nasional yang melibatkan Program Transformasi Kerajaan,
Ekonomi, Politik dan Sosial telah dilaksanakan seterusnya membuahkan
hasil dalam meningkatkan kesejahteraan hidup mereka dan kemakmuran
negara.
6. Kerajaan yang ada pada hari ini ialah kerajaan yang
bertanggungjawab, kerajaan ini ialah kerajaan yang meletakkan
kepentingan tuan-tuan dan puan-puan rakyat Malaysia di atas
segala-galanya. Kami merupakan kerajaan yang apabila berjanji menepati
janji, kami merupakan kerajaan yang apabila diberi amanah akan
menjunjung dan memeliharanya. Bukan sikap kami menanam tebu di bibir.
Sesungguhnya bukti komitmen kami mampu dinilai serta diukur daripada
prestasi dan “Track record” kami sepanjang empat tahun yang lalu.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
7. Pembubaran ini akan membuka laluan kepada bermulanya proses
pilihan raya umum bagi kali yang ketiga belas untuk negara semenjak
tahun 1959 iaitu apabila kita mula mengadakan pilihan raya umum pertama
pasca merdeka.
8. Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi
Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai asas pemerintahan. Kuasa
mutlak untuk memilih kerajaan berada di tangan rakyat.
9. Sejarah telah menunjukkan bahawa kebugaran demokrasi Malaysia
telah berjaya menyediakan asas yang subur untuk kestabilan dan
kemakmuran nasional yang telah dinikmati warganegara ini selama lebih
lima dekad.
10. Amalan demokrasi di Malaysia kekal dan berjaya kerana walaupun
bersifat sengit dan amat berdaya saing namun pada akhirnya ia berjaya
kerana semua pihak menghormati proses dan keputusannya.
11. Saya ingin menyeru agar tradisi ini diteruskan demi kesejahteraan
rakyat dan kestabilan nasional. Semua parti politik yang memilih untuk
terlibat di dalam proses pilihan raya kali ini perlulah
bertanggungjawab. Janganlah kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat
terhadap parti masing-masing maka ada pihak yang cuba menyemai racun
syak wasangka dan seterusnya merosakkan kepercayaan kepada integriti
proses pilihan raya yang bakal diadakan.
12. Insaflah dan ambillah iktibar dari apa yang telah berlaku di
negara-negara lain di mana taktik ini telah cuba diguna pakai. Kesan
akhirnya proses dan keputusan pilihan raya di negara-negara tersebut
tidak lagi diyakini dan mana-mana kerajaan yang dipilih termasuk dari
parti yang mengamalkan taktik tersebut telah ditolak rakyat. Negara
akhirnya menjadi tidak stabil, pelabur hilang keyakinan, kemakmuran
nasional merudum dan akhirnya rakyat menderita.
13. Sejarah selama ini telah membuktikan bahawa di Malaysia semenjak
merdeka lagi proses pilihan raya yang diadakan bersifat berwibawa, adil
dan telus. Kerajaan yang telah dipilih hasil pilihan raya umum sama ada
di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri ialah kerajaan yang
mendapat sokongan serta keyakinan majoriti rakyat sesuai dengan amalan
demokrasi sarwajagat.
14. Amalan demokrasi sebagai teras pemerintahan merupakan mekanisme
terbaik yang pernah dicipta manusia. Hakikatnya perbezaan pendapat, idea
dan pandangan bukannya penyebab malapetaka atau punca perpecahan malah
jika ditangani dan diurus secara baik sejarah telah menunjukkan ia mampu
mendatangkan rahmat yang akan membahagiakan rakyat dan memajukan
negara.
15. Marilah kita sama ada parti kerajaan mahupun parti pembangkang
memberikan komitmen untuk memelihara keutuhan proses demokrasi dan
menghormati keputusan yang akan dibuat oleh rakyat. Marilah kita
sama-sama berdoa agar pilihan raya ini akan berjalan dengan lancar, aman
dan selamat.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
16. Saya ingin memberi jaminan bahawa kerajaan yang ada akan
meneruskan tugas dan tanggungjawabnya sesuai dengan prinsip keluhuran
perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sehingga selesai proses
pilihan raya.
17. Saya juga ingin menyeru di samping memberi jaminan
kepada semua rakyat Malaysia serta parti politik yang terlibat, bahawa
jika berlaku sebarang peralihan kuasa sama ada di peringkat persekutuan
mahupun di peringkat negeri ia akan dan perlu berlangsung secara aman
dan tertib. Inilah iltizam kita dalam menjunjung prinsip demokrasi,
inilah tekad kita dalam menggerakkan transformasi politik, inilah
komitmen kita dalam menghormati suara dan mendahulukan kepentingan
rakyat.
18. Kepada semua rakyat Malaysia terutamanya yang tinggal di Pantai
Timur Sabah janganlah bimbang dan takut. Laksana dan tunaikanlah
tanggungjawab tuan-tuan dan puan-puan sebagai warganegara Malaysia,
pihak keselamatan negara akan menjalankan tugas mereka untuk memastikan
persekitaran yang selamat untuk tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
19. Setiap undi tuan-tuan dan puan-puan adalah penting, jangan
bazirkan ia, janganlah dipertaruhkan masa depan anak-anak dan negara
Malaysia. Fikir dan renungkanlah dengan sebaik-baiknya sebelum membuat
keputusan, ini kerana undi saudara dan saudari akan menentukan bukan
sahaja hala tuju negara dan negeri tetapi juga untung nasib anak cucu
kita semua.
20. Dalam pilihan raya ini tuan-tuan dan puan-puan bukan sahaja
bertanggungjawab memilih wakil saudara dan saudari bagi setiap kawasan
Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tetap juga memilih kerajaan yang akan
mendukung aspirasi tuan-tuan dan puan-puan.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
21. Saya berdiri di sini dengan penuh rasa tawaduk dan terhormat
kerana diberi kepercayaan untuk mengkhidmati tuan-tuan dan puan-puan
sekalian. Saya dan rakan-rakan amat menghargai dan menjunjung tinggi
kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat dan akan memberikan yang
terbaik demi untuk Malaysia dan warganya.
22. Di sini saya selaku Ketua Kerajaan Barisan Nasional ingin
merakamkan rasa penghargaan dan ucapan kasih kepada rakyat Malaysia
kerana telah memberi kepercayaan kepada kami Kerajaan Barisan Nasional
untuk menerajui kepimpinan negara semenjak lima tahun yang lepas. Mulai
hari ini saya dan rakan-rakan kepimpinan BN akan turun dan bertemu
rakyat di seluruh pelosok negara bagi meyakinkan warga Malaysia kenapa
kami BN perlu diberi peluang kembali untuk membentuk kerajaan dengan
majoriti yang kukuh.
23. Kami akan menggunakan mandat kukuh yang diberi, Insyaallah untuk
melipatgandakan lagi usaha bagi melakar masa depan yang lebih baik,
yang lebih bermakna, yang lebih sejahtera untuk saudara dan saudari
serta anak cucu kita semua. Ayuh teruskan perjalanan kebangsaan untuk
mencapai wawasan nasional ke arah Malaysia yang maju dan berpendapatan
tinggi. Ingatlah pencapaiannya bukan secara automatik ia memerlukan kita
melipatgandakan usaha dan meneruskan kesinambungan kejayaan yang ada.
24. Marilah kita bersama-sama berganding bahu, berpimpin untuk
menjadikan impian ini sebuah realiti, Malaysia yang maju, makmur dan
selamat, penuh dengan peluang serta sarat harapan bagi semua. Demi
Malaysia, usaha bakti kita curah, kepada Tuhan kita berserah.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment