Thursday 29 August 2013

PENGHARAMAN TANDA PUTERA BUKTI DAP TAKUT BAYANG MEREKA SENDIRI????



Filem patriotik perjuangan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein yang dijadual memasuki pawagam di seluruh negara esok selepas beberapa kali tertangguh, diharamkan penayangannya di negeri ini atas arahan Ketua Menteri, Lim Guan Eng. 
 
Guan Eng berkata, beliau telah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow menghantar surat kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk dimaklumkan kepada pemilik panggung di negeri ini tentang perkara berkenaan.

"Kita kesal kerana filem tersebut dibenarkan tayangannya oleh kerajaan tanpa mengeluarkan babak fitnah yang dipaparkan iaitu adegan pemuda Cina kencing dalam kawasan kediaman rasmi Menteri Besar Selangor.

"Kenapa (adegan) dibiarkan kerana pengarah filem tersebut mengatakan perkara itu tidak pernah berlaku, namun beliau memasukkan adegan berkenaan dalam filemnya," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng menjelaskan, pihaknya berharap permintaan mereka akan mendapat kerjasama daripada pemilik panggung di negeri ini.

"Kerajaan negeri berharap mereka tidak menayangkan kerana tidak boleh diterima dan mengandungi perkara sensitif dan amat berbahaya.

"Mereka harus mempertimbangkannya kerana pemberian lesen perniagaan untuk pawagam di negeri ini tertakluk di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT)," ujarnya.

Menurut Guan Eng, surat berkenaan akan dihantar pada hari ini juga kerana filem arahan Datuk Shuhaimi Baba itu dijangka mula ditayangkan serentak di seluruh negara esok.

Filem patriotik berkenaan antara lain mengisahkan tentang perjuangan Tun Abdul Razak dan timbalannya, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman dalam mentadbir negara serta cabaran yang dihadapi mereka selepas berlakunya peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Sebelum ini, tayangan filem lakonan Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai dan Linda Hashim yang menelan belanja kira-kira RM4.7 juta itu ditangguhkan beberapa kali ekoran bantahan pembangkang.

PANAS !!!! PELUKIS INDIA PULA MENGHINA ISLAM

1014212_711029938913843_39930309_n 
Sebuah lukisan menghina agama Islam dikesan di pameran seni M50-Selamat Hari Malaysia anjuranArtemis Art KL di Tingkat G2, Publika-Solaris Sri Hartamas.

Lukisan bertajuk “ABC For The Middle-Age Middle Classes’ itu dipercayai dilukis oleh seorang pelukis berbangsa India bernama Anurenda Jegadeva. Pada lukisan tersebut dipaparkan tulisan ‘I Is For Idiot’ yang sepatutnya ditulis ‘I Is For Islam’.

1186827_711029935580510_888038270_n

Di bawah lukisan yang berlatarbelakangkan seekor chimpanzee sedang mengayuh basikal itu terdapat perkataan ‘Bismillah’ yang ditulis secara terbalik.

Manakala huruf J pula ditulis ‘J Is For Jesus’ tanpa sebarang unsur penghinaan. Lukisan tersebut jelas mengandungi unsur penghinaan terhadap agama Islam kerana tulisan Bismillah tidak sepatutnya ditulis secara songsang.

Laporan polis telah dibuat oleh seorang pengurus yang melawat pameran tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana menghina dan melukakan perasaan agama orang lain.


#KONGSI GELAP : NAMA 49 KUMPULAN KONGSI GELAP DIDEDAH

Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengumumkan nama 49 kumpulan kongsi gelap di seluruh negara.
Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dalam sidang media di sini, berkata kumpulan itu dikategorikan haram mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966 pada 28 Ogos 2013 melalui perwartaan P.U. (A) 272/2013.

Abdul Rahim menjelaskan kumpulan kongsi gelap berkenaan dikesan menjalankan kegiatan memudaratkan ketenteraman awam seperti sindiket pengedaran dadah, memeras ugut, menimbulkan pergaduhan antara pertubuhan kongsi gelap dan huru-hara.

"Mereka juga melakukan pembunuhan menggunakan senjata api atau barang-barang tajam seperti parang, pisau, kuku kambing dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata kumpulan kongsi gelap itu ialah:

- Geng 04 yang dikenal pasti bergerak aktif di Kedah, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.

- Geng 08 yang bergerak aktif di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

- Double 7 yang bergerak aktif di seluruh Semenanjung.

- Tiga Line yang bergerak aktif di 20 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Kedah dan Perak.

- Geng 30 yang bergerak aktif di seluruh Semenanjung.

- Geng 38 yang aktif di 14 kawasan di Kepong, Jinjang dan Setapak di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan di Johor Baharu, Johor.

- Geng 24 (aktif di enam kawasan di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak dan Johor)

- Geng 18 (aktif di lapan kawasan di Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Johor)

- Geng 36 (aktif di Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur)

- Gee Ah Eng

- Loh Kuan

- Tiang Yee Tong

- Geng 21

- Ang Soon Thong

- Wah Kee

- Sio Sam Ong

- PNEH

- Hong Hong San

- Hai San

- Sin Ang Bin

- New Cell 20

- Jit It Hai

- Sio Koon Tong

- Gee Lam Kor

- Geng Leng Hor

- Geng 35

- Geng 303

- Geng Satu Hati

SABAH:

- Sabah ATAP

- Hung Ann

- Sui Yuk

- Otai

- Borneo Red EMP

DI SARAWAK:

- Sarawak Ah Ngau

- Batu Tiga

- Ah Feng

- Batu 10

- Sibu T

- Ah Seng

- Ah Chin

- Lee Lung

- Lo Han

- Sg Merah

- Sg Badut

- Ting Ching Lee

- Tua Cak Lee

- Teksi Station

- Pintu Merah

- Krokop

Abdul Rahim berkata dengan pengisytiharan itu, tiada individu atau pihak boleh menggunakan semula nama berkenaan untuk didaftarkan sebagai pertubuhan.

Beliau berkata segala akaun, aset dan harta pertubuhan kongsi gelap tersebut akan diserahkan dan digulungkan oleh Jabatan Insolvensi.

Selain itu, katanya tiada individu boleh memegang jawatan, menjalankan kerja sebagai seorang anggota, membenarkan sesuatu mesyuarat dalam bangunan, menghasut, mendorong, mendapatkan yuran atau bantuan, menyiar dan bertindak bagi pihak atau wakil pertubuhan kongsi gelap.

Beliau berkata mereka yang bertanggungjawab menjalankan apa-apa aktiviti pertubuhan kongsi gelap akan disiasat dan didakwa di mahkamah kerana melakukan kesalahan di bawah Akta 335.

BERNAMA

MAHKAMAH BATALKAN PETISYEN CALON DAP - BN KEKAL DI CAMERON HIGHLANDS




Barisan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Cameron Highlands selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan petisyen yang difail calon DAP bagi membatalkan keputusan pilihan raya umum ke-13 kawasan berkenaan.

Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid memutuskan petisyen M. Manogaran adalah cacat kerana gagal mematuhi Perintah 4(1)(b) dan 4(4) Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954.

Beliau berkata pempetisyen juga gagal mengemukakan fakta yang mencukupi bagi mendedahkan kuasa tindakan.

Hakim itu berkata Manogaran tidak menunjukkan bagaimana rasuah dikatakan begitu menjejaskan keputusan pilihan raya.

Umi Kalthum memerintahkan Manogaran membayar RM40,000 sebagai kos kepada anggota Parlimen Cameron Highlands Datuk Seri G. Palanivel, yang dinamakan sebagai responden dalam petisyen itu.

Palanivel menang dengan majoriti 462 undi dalam pertandingan lima penjuru.

Calon lain ialah Mohd Shokri Mahmood (Berjasa), Kisho Kumar Kathirveloo (BEBAS) dan Alagu Thangarajoo (BEBAS).

-- BERNAMA

TEMBAK MENEMBAK BERHAMPIRAN KEDUTAAN MALAYSIA DI MESIR




Bunyi tembakan kedengaran di Gamaat El Dawal pada Rabu, kawasan terletaknya bangunan Kedutaan Malaysia di Mesir.
Tembakan dikatakan mula didengar kira-kira 4.15 petang (waktu tempatan) dan sehingga 6 petang ia masih dilaporkan berlaku.

Pegawai Education Malaysian Egypt, Zaliha Zulkifli berkata insiden dipercayai bermula daripada tembakan rambang dari sebuah bangunan tinggi di kawasan berkenaan ke arah kem kawalan tentera sebelum kedua-dua pihak berbalas tembak.

"Anak saya menghubungi mengatakan rumah tak ada elektrik dan selepas beberapa minit ada bunyi tembakan bertalu-bertalu berhampiran kedutaan.

"Ada juga bunyi bom kedengaran begitu dekat dengan rumah saya yang hanya 50 meter dari kedutaan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kali terakhir kejadian sedemikian berlaku ialah pada 14 Ogos lepas.

Kejadian itu turut disahkan Pengarah Education Malaysia Egypt Datuk Dr Su'adi Safei.

"Ketika melintasi dari lebuhr raya, saya nampak kenderaan cuba lari daripada tempat berkenaan.

"Isteri saya turut menghubungi (saya) mendengar bunyi tembakan bertalu-talu dari (kawasan) rumah saya yang 300 meter dari tempat berkenaan," katanya.

Ini menurutnya, mungkin episod permulaan kepada 'Jumaat kemarahan' pada Jumaat ini.

Dr Su'adi dan Zaliha mengikuti delegasi Kementerian Pendidikan yang ke negara bergolak itu sejak Isnin lepas untuk membincangkan isu penuntut Malaysia di sini bersama pihak-pihak universiti di negara ini.

-- BERNAMA

Wednesday 28 August 2013

DIA DI ANGGAP GILA KERANA MEMASANG BENDERA MALAYSIA



TIKAM BATU – “Acik dah tegar dicaci, dimaki dan dianggap gila hanya kerana mahu ceriakan persekitaran rumah dan restoran mi udang dengan ratusan bendera Jalur Gemilang sepanjang bulan Kemerdekaan.

Demikian luahan Abdullah Ahmad, 65, atau lebih mesra disapa Acik, seorang pengusaha mi udang di Batu Lintang, Tikam Batu yang sanggup berhabis ribuan ringgit demi meluahkan kecintaannya kepada negara.

“Bukan sahaja kanak-kanak yang gelarkan Acik gila, malah ada antara orang tua turut bersikap begitu.

“Acik tidak faham dengan semangat orang sekarang menyambut merdeka, adakah sekadar melaungkan perkataan itu semata- mata tanpa terdetik di hati dan meresap ke dalam jiwa mereka,” katanya.

Menurutnya, ada juga masyarakat yang menghargai usahanya apabila mereka memuji apa yang telah dilakukan selain memberi sokongan serta dorongan untuk terus beri kesedaran kepada orang ramai tentang erti kemerdekaan.

“Pengalaman paling pahit apabila kereta yang dihias dengan Jalur Gemilang serta gambar potret tertentu yang mencerminkan patriotik dicemuh dan diludah apabila melalui laluan yang dipenuhi orang ramai dalam satu majlis.

“Mereka menunjukkan tanda protes apabila saya melalui laluan tersebut dengan sikap yang tidak bertamadun,” katanya.

Menceritakan rutinnya menyambut bulan kemerdekaan dengan menghias rumah serta persekitaran, Abdullah menjelaskan, ia dilakukan sejak tahun 1999 lagi.

“Acik hias Jalur Gemilang bukan sebab mahu masuk pertandingan semata-mata, tetapi sejak dulu tak masuk pertandingan pun, Acik dah mula menghias,” katanya.

Mengakui rela menghabiskan hampir RM5,000 untuk menceriakan rumah serta restorannya dengan Jalur Gemilang, Abdullah berkata, dia menyediakan Tabung Merdeka bagi mengatur kewangan sepanjang tahun untuk tujuan berkenaan.

“Tabung Merdeka lain, tabung untuk berniaga lain pula, Acik dah asingkan siap-siap supaya nanti mudah untuk menyediakan kelengkapan,” katanya.

Selain menggunakan batang buluh, cat dan bingkai gambar, Abdullah juga menggunakan barangan terpakai seperti botol kaca, botol plastik, gelas polisterin, surat khabar, kulit siput, kulit kerang dan beg plastik ais batu untuk dibuat perhiasan.

“Sebab itu, Acik dianggap gila apabila suatu ketika menghadiri majlis, Acik kutip semua pinggan dan gelas polisterin yang dibuang merata-rata untuk dibawa pulang dijadikan perhiasan,” katanya.

Abdullah berkata, semangat kemerdekaan perlu dipupuk supaya rakyat Malaysia tahu menghargai perjuangan pemimpin terdahulu.

Sekiranya ia tidak diberi perhatian atau sekadar mengibarkan Jalur Gemilang tanpa semangat patriotik, sudah pasti ia memberi impak yang tidak bernilai.

“Saya lahir semasa sebelum merdeka, oleh itu peristiwa Hari Merdeka 31 Ogos 1957 akan kekal dalam ingatan sampai bila-bila.

“Ketika itu, saya masih kecil, tetapi tahu mahu menyambut kemerdekaan apabila semua ahli keluarga tidak kira kecil atau besar sama-sama menuju ke Bandar Hilir, Melaka.

“Kami hanya berjalan kaki dari Sungai Udang, walaupun penat akibat berjalan jauh tetapi selepas itu, perasaan gembira, lega dan bersyukur kami rasai. Apabila saya besar, baru saya sedar tentang kemerdekaan yang perlu dipertahankan kerana penat jerih pemimpin kemerdekaan berjuang untuk mendapat kejayaan ini,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar lebih banyak pihak menyokong usaha tersebut secara berterusan.

“Alangkah baiknya sekiranya Jalur Gemilang dipasang sentiasa seperti mana perang bendera semasa pilihan raya, kerana saya lihat lebih ramai yang gemar pasang bendera politik menjelang hari mengundi.

“Sekiranya semua orang mempraktikkan benda yang sama, sudah pasti ia menjadi satu kekurangan sekiranya ada antara individu atau mana-mana pihak yang mengabaikan pemasangan Jalur Gemilang menjelang Hari Merdeka,” katanya.

Baca seterusnya di Terengganu

SAMY VELLU DIMINTA BERHENTI CAMPURI URUSAN PARTI MIC




Datuk Seri S. Samy Vellu diminta supaya berhenti mencampuri urusan parti kerana era pemerintahan bekas Presiden MIC itu telah lama berakhir.
Aktivis MIC, Datuk R. Ramanan berkata, tindakan Samy yang sering mengkritik secara terbuka kepimpinan Datuk Seri G. Palanivel sejak akhir-akhir ini mencetuskan keadaan 'huru-hara' dalam parti.
Menurutnya, campur tangan Samy Vellu dalam hal parti juga menimbulkan tanda tanya sekiranya bermotifkan agenda tersendiri memandangkan pemilihan parti bermula bulan hadapan.
"Saya mohon supaya Samy hentikan perbuatan sia-sianya dengan mengkritik kepimpinan Palanivel. Beliau telah lama mengundur diri daripada jawatan Presiden namun kadang-kadang tindak tanduknya seperti masih menguasai parti.
"Palanivel baru sahaja mula menerajui parti tiga tahun ini manakala Samy sudah menjadi Presiden parti lebih 33 tahun. Sudah tentu Samy boleh bercakap seolah-olah beliau adalah pejuang sebenar," katanya di sini hari ini.
Ramanan mengulas kenyataan Samy Vellu dalam temu bual khas dengan sebuah portal berbahasa Inggeris Ahad lepas yang menyifatkan Palanivel sebagai seorang pemimpin lemah dan tidak banyak berjuang untuk rakyat.
Samy Vellu turut melahirkan rasa kecewa dengan sikap berpeluk tubuh penggantinya itu dalam isu-isu membabitkan kaum India malah menuduh Palanivel seperti lupa diri.
Ramanan turut mempersoalkan sikap Samy Vellu yang sengaja cuba memburukkan Palanivel pada saat-saat akhir pemilihan parti berikutan kekecewaan beliau ekoran pemecatan anak sulungnya, Vel Paari daripada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) bulan lepas.
"Sebenarnya, Samy bercakap seperti tidak waras, adakah kerana selama ini beliau sibuk berkempen untuk Datuk Seri S. Subramaniam untuk menggantikan Palanivel tidak kesampaian? Adakah juga kerana anaknya telah dipecat dari CWC?
"Walau apapun alasan Samy, kami lebih memerlukan Palanivel daripada beliau. Samy harus sedar perkara ini sebelum terlambat. Janganlah merosakkan keharmonian yang telah terbina ketika ini dalam parti," tegasnya.
Samy Vellu yang menjadi Menteri Kabinet sejak 1974, tewas dalam Pilihan Raya Umum 2008 apabila sokongan kaum India terhadap parti itu merosot di sebalik pelbagai tuduhan-tuduhan terhadap parti itu di bawah teraju beliau.
Sungguhpun kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, Samy Vellu masih dilihat mempunyai pengaruh kuat di dalam parti itu khususnya dalam kalangan 4,000 pengerusi cawangan MIC yang akan mengundi dalam pemilihan parti berkenaan.

sumber : Utusan

BEKAS AHLI PUTERI SANGKAL DAKWAAN BEKAS KETUA MEREKA AZALINA OTHMAN



Beberapa bekas anggota Puteri Umno hari ini menafikan kenyataan anggota Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said yang mendakwa Pergerakan Wanita Umno gagal mengoptimum peranan bekas anggota sayap paling muda itu apabila mereka menyertai sayap wanita.

Penolong Bendahari Wanita Umno Noraslina Zainal Abidin berkata kenyataan itu tidak berasas kerana realitinya kebanyakan mereka diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan dalam sayap Wanita.

"Tidak timbul langsung isu bahawa bekas anggota Puteri Umno tidak diberi tempat dalam arus politik negara. Bukan hanya saya, beberapa rakan bekas anggota Puteri Umno juga sekarang ini memegang tampuk kepimpinan di peringkat Wanita Umno cawangan dan bahagian malah ada juga dipilih oleh perwakilan sebagai Exco Wanita Umno Malaysia," katanya kepada Bernama di sini Isnin.

Bekas anggota Puteri dan Ketua Puteri Umno Negeri Johor itu berkata beliau sendiri telah dipilih di peringkat bahagian selaku Ketua Wanita Umno Bahagian dan kini menyandang jawatan Penolong Bendahari Pergerakan Wanita.

Pelantikan oleh Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil itu menggambarkan beliau bergerak seiring presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak dalam melakar transformasi politik di negara ini, katanya.

Beliau mengulas laporan akhbar yang memetik Azalina, bekas ketua Puteri Umno, sebagai berkata bahawa peranan lebih 200,000 bekas Puteri Umno seolah-olah dipinggirkan setelah secara automatik menyertai Pergerakan Wanita sebaik mencapai umur 35 tahun.
Azalina berkata keupayaan mereka yang telah dilatih seharusnya terus dipupuk bagi mengelak mereka berpaling kepada parti lain.

Beliau turut mengakui dorongan untuk memastikan kumpulan itu tidak terus disisih daripada arus politik perdana negara menjadi penggerak utama langkah beliau menawarkan diri bertanding merebut jawatan Ketua Wanita Umno dengan mencabar penyandang, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada pemilihan Umno Oktober depan.
Senada dengan Noraslina, Ketua Wanita Umno Bahagian Tanjung Karang Datuk Habibah Mohd Yusof turut tidak bersetuju bahawa tidak wujud kesinambungan apabila bekas anggota Puteri menganggotai sayap Wanita.

"Bagi saya yang penting ialah bagaimana kita bekas-bekas Puteri boleh membawa diri, kerana dari situ kita akan diterima oleh Wanita, malah mereka sendiri yang akan mengajak dan melantik kita sebagai ketua mereka kerana percaya dengan kemampuan dan bakat kita," katanya.
 
Habibah yang merupakan bekas Exco Puteri ketika di bawah pimpinan Azalina, dan bekas Ketua Puteri Datuk Noraini Ahmad, dilantik mengetuai Wanita bahagian Tanjung Karang sebaik sahaja beliau menyertai pergerakan Wanita lima tahun lepas.
"Soal perjuangan dan sumbangan kepada parti tidak semestinya berdasarkan jawatan, bila saya dalam Wanita sejak 2008, saya lihat Wanita sangat terbuka, mereka sendiri meminta saya bertanding jawatan Exco untuk mewakili Wanita (Umno) Selangor," katanya.

Habibah yang juga Bendahari Wanita Umno Selangor berkata beliau sangat berpuas hati dengan kepimpinan Shahrizat yang tidak meminggirkan dan mengenepikan setiap anggotanya selain sentiasa memberi dorongan dan tunjuk ajar kepada anggota baharu.

Penolong Bendahari Wanita Kelantan Zarina Md Eusope pula berkata isu dipinggirkan tidak timbul kerana kedua-dua sayap berjuang di bawah lambang yang sama iaitu Umno.

Bekas Exco Puteri Kelantan yang kini diberi kepercayaan untuk menerajui Pergerakan Wanita Pengkalan Chepa, Kota Baharu dan biro politik Wanita negeri itu turut menegaskan Shahrizat sebagai tonggak Pergerakan Wanita sentiasa mengalu-alukan kemasukan bekas anggota Puteri dalam sayap pergerakan itu.

Sementara itu di PAPAR, Sabah, Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menyatakan keyakinannnya Shahrizat mampu mempertahankan jawatan yang disandangnya meskipun berdepan dengan Azalina pada pemilihan parti kelak.

Rosnah yang juga anggota Parlimen Papar berkata situasi semasa menunjukkan sokongan padu semua kepimpinan dan akar umbi Wanita Umno terhadap Shahrizat.

"Beliau (Shahrizat) dilihat mampu mendapat sokongan padu daripada kepimpinan Wanita UMNO sama ada di peringkat negeri atau bahagian kerana sepanjang menerajui sayap pergerakan itu, kredibilitinya sebagai pemimpin berjaya mengangkat imej wanita di negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika KEMAS hari ini.

Di MELAKA, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Idris Haron berkata pergerakan Wanita Umno di bawah Shahrizat telah mempamerkan prestasi yang membawa kejayaan kepada Umno pada pilihan raya umum ke-13 lepas.

Ketua Menteri Melaka itu berkata walaupun Shahrizat mengalami pelbagai ujian yang hebat, namun Ketua Wanita itu masih kekal bersama pergerakan itu dan membantu parti dalam PRU13.

Anggota pergerakan itu perlu membuat pilihan yang tepat pada pemilihan parti Oktober depan bagi memastikan Wanita Umno terus membantu parti, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Pergerakan Wanita Umno Melaka yang turut dihadiri Shahrizat.

Pada majlis itu, kira-kira 100 anggota Wanita Umno Melaka melafazkan ikrar diketuai Idris untuk menyokong Shahrizat kekal sebagai Ketua Wanita Umno.

Sementara itu, Shahrizat menafikan pergerakan itu menyisihkan bekas anggota Puteri Umno daripada arus politik perdana negara sebaliknya menerima kehadiran mereka dengan baik dan berhemah.

Malah, katanya, anggota Puteri Umno yang layak turut diberikan jawatan tertinggi dalam pergerakan itu.

"Semasa saya ambil alih kepimpinan Wanita, saya membuat keputusan kita mesti rapatkan perhubungan Ketua Wanita dengan Ketua Puteri di semua bahagian. Saya nak tentukan ada kesinambungan yang cantik, sebab itu saya lantik Noraslina Zainal Abidin, (bekas) Ketua Puteri Johor selaku bendahari Wanita Umno, iaitu jawatan tinggi dalam Wanita," katanya.

-- BERNAMA

400 ANGGOTA KESELAMATAN TERBABIT DI LAHAD DATU AKAN DI BERI PENGHORMATAN




Seramai 400 anggota keselamatan yang terbabit dengan Operasi Daulat akan diberi penghormatan pada sambutan Hari Kemerdekaan ke-56, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata mereka terdiri daripada 100 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), 250 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 50 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Kita juga akan beri penghormatan kepada keluarga mereka yang terkorban dalam insiden Lahad Datu dengan menempatkan mereka bersama-sama tetamu kenamaan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 di sini Selasa.

Ahmad Shabery berkata acara itu sebagai simbolik kepada penghormatan terhadap mereka yang terkorban demi mempertahankan keamanan dan kesejahteraan negara tercinta.

"Ia juga selaras dengan pemilihan tema sambutan kali ini iaitu 'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku'," katanya.

Beliau berkata langkah itu juga bertujuan memberi peluang kepada orang ramai untuk bersama-sama memberi penghormatan kepada anggota keselamatan yang terlibat dengan Operasi Daulat.

"Jadi rakyat dijemput untuk hadir beramai-ramai, jika ketika pasukan bola sepak negeri masing-masing menang Piala Malaysia mereka boleh keluar beramai-ramai tanda sokongan, kenapa untuk beri penghormatan kepada pasukan keselamatan tidak boleh," katanya.

Selain itu, katanya, sambutan kali ini juga akan mempamerkan 300 aset pasukan keselamatan darat dan 30 aset pasukan keselamatan udara.

"Pameran itu termasuk aset-aset terbaharu milik pasukan keselamatan darat dan udara seperti kenderaan pengangkut 8x8 yang baru sampai dan helikopter pengangkut baharu iaitu EC 75," katanya.

KHAIRY JAMALUDDIN DIGESA TARIK BALIK KENYATAAN



Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin digesa menarik balik kenyataannya berhubung dakwaan kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak memperakui laporan akhbar Utusan Malaysia yang bertajuk ‘Apa lagi Cina mahu’.

Yang Dipertua Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwandin Hamzah berkata, kenyataan Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan itu seolah-olah menunjukkan UMNO parti yang lemah.
“Beliau sebagai Ketua Pemuda UMNO seharusnya memahami dan menyokong kuat kenyataan yang ditegaskan Najib sebelum ini.

“Apa yang Khairy nafikan ini mungkin hanya untuk mengambil hati orang Cina, sedangkan apa yang beliau katakan itu tidak betul sama sekali," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Khairy dalam laporan portal berita propembangkang, Malaysiakini semalam yang mendakwa Najib tidak memperakui laporan akhbar Utusan Malaysia bertajuk ‘Apa lagi Cina mahu’ selepas pilihan raya umum lalu.

Azwandin berkata, kenyataan Khairy berhubung isu itu seharusnya dibuat dari sudut menyeluruh, bukannya dilihat seperti berat sebelah.

“Jika Khairy berniat untuk menegur, beliau sepatutnya melakukan perkara sama terhadap akhbar Cina, bukannya Utusan Malaysia sahaja," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM), Datuk Adiwijaya Abdullah berkata, Khairy tidak seharusnya membuat kenyataan sedemikian apatah lagi memperlihat seolah-olah beliau mewakili Najib.

Beliau menegaskan, laporan yang ditulis Utusan Malaysia itu langsung tidak bercanggah memandangkan sokongan kaum Cina kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 amat mengecewakan.

PEMBUNUHAN TAOKEY NASI KUKUS BUKAN KERANA DENDAM

image

Kematian pemilik restoran nasi kukus akibat ditembak di Paka, di sini baru-baru ini bukan berunsur dendam sebaliknya bermotifkan samun, kata Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Mohd. Jamil.

Beliau berkata polis kini menunggu bukti kukuh untuk memberkas suspek yang telah dikenal pasti melakukan pembunuhan itu.

“Kami minta orang ramai yang tahu dan mempunyai maklumat berhubung kes itu tampil untuk memberikan maklumat bagi mengukuhkan bukti pendakwaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, polis juga telah menemui beberapa petujuk positif berhubung kejadian itu.

Pada 13 Ogos lepas, Mohamad Lutpi Mansor, 50, ditemui mati dengan beberapa das tembakan di tempat letak kereta di hadapan kedai miliknya selepas pemilik restoran nasi kukus itu dikatakan keluar rumah untuk memasukkan duit hasil perniagaannya di sebuah bank di bandar Dungun.

Hamzah berkata, setakat ini seramai 15 saksi termasuk anggota keluarga mangsa telah dipanggil untuk siasatan lanjut. – BERNAMA

Monday 26 August 2013

DIRA ABU ZAHAR - SERAH BORANG PUTERI UMNO




Pelakon dan pengacara, Dira Abu Zahar atau nama sebenarnya Khaidhirah Abu Zahar, 28, menyerahkan borang keahlian Puteri UMNO kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Idris Haron semalam.

Bekas pengacara Melodi itu menyerahkan borang tersebut pada majlis Rumah Terbuka Puteri UMNO Bahagian Tangga Batu di Sungai Udang.

Menurut Dira, dia telah lama berhasrat untuk menjadi ahli Puteri UMNO, namun terpaksa menunggu masa sesuai untuk menyertainya.

“Saya hendak buat banyak perkara untuk parti sebab saya melihat bagaimana perjuangan mak dan ayah dalam parti dan atas semangat mereka saya berasa terpanggil menyertai Puteri,” katanya.

Yang turut hadir sama Ketua Puteri UMNO Melaka merangkap Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Puteri UMNO Tangga Batu, Azlieza Azizan.

Dira ialah anak kepada Ketua Menteri Melaka kelapan, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Ithnin.

Dalam pada itu, Idris yang juga Ketua Menteri Melaka percaya selebriti tersebut mampu memainkan peranannya sebagai ahli dengan baik selain menarik lebih ramai pengikut.

“Saya juga percaya Dira tahu peranannya dan dia akan berjuang dengan kehendak diri sendiri bukan kerana paksaan,” katanya.

PHOTO :PEMBUNUHAN BERAMAI-RAMAI D SYRIA...BILA AKAN BERAKHIR PENDERITAAN





RABU lalu tentera rejim Presiden Bashar al-Assad membunuh lebih 1,300 orang awam termasuk kanak-kanak menggunakan gas saraf, sejenis senjata kimia yang boleh membunuh dalam masa sepuluh minit. Difahamkan serangan dengan menggunakan roket yang mengandungi gas saraf itu dilakukan ketika mangsa nyenyak tidur di kawasan pinggir bandar seperti Ain Tarma, Zamalka dan Jobar di Ghouta.

Ini memang perbuatan yang tidak berperikemanusiaan. Tetapi mempersoalkan kemanusiaan sahaja tidak memberikan penyelesaian kecuali melihat tragedi ini dari pangkalnya. Lebih menimbulkan persoalan lagi apabila dilakukan oleh pemimpin Islam terhadap rakyatnya yang juga orang Islam.

Ini adalah pembunuhan beramai-ramai kedua dalam masa terdekat selepas tentera Mesir menembak mati lebih 3,000 orang dua minggu lalu. Kedua-dua pembunuhan beramai-ramai ini dilakukan oleh tentera kerajaan terhadap orang awam.

Sebenarnya penggunaan gas beracun untuk membunuh mangsa dalam kuantiti yang banyak dan masa yang singkat bukan perkara baharu bagi kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS). Dalam Perang Dunia Kedua, Hitler menggunakan gas beracun untuk membunuh berjuta-juta orang Yahudi di Jerman. Dalam Perang Vietnam tahun 1975, tentera AS menggunakan senjata kimia Orange Agent dan kesan biologi terhadap mangsa dan keturunannya kekal hingga kini.

Begitu juga dengan pembunuhan beramai-ramai seperti di kem pelarian Sabra dan Satila oleh tentera Zionis Israel terhadap kanak-kanak Palestin, My Lai di Vietnam tahun 1968 oleh tentera AS dan di Nanking (Nanjing), China oleh tentera Jepun.

Persoalannya kenapa pembunuhan beramai-ramai kini berlaku di negara Islam seperti Syria? Kenapa pula diktator “peminum darah” seperti Bashar masih terus hidup dan mengganas? Siapakah sebenarnya yang memainkan peranan dalam memberikan gambaran bahawa kini pemimpin Islam sudah setaraf jahatnya dengan Hitler di Jerman atau Pol Pot di Kemboja?

Syria sama seperti Mesir yang kini menjadi papan catur kuasa besar untuk AS dan Rusia. Penglibatan secara terancang AS dan Rusia di Syria menjadikan negara Islam ini medan menguji dan memasarkan senjata pembunuh. Bashar mendapat sokongan kuat daripada Rusia, Iran dan China, sementara tentera pejuang mendapat sokongan AS.

Dalam perkembangan terbaru, AS kini menunggu arahan Presiden Barack Obama untuk menyerang Syria. Ini tidak memeranjatkan kerana Bashar disokong oleh Rusia dan China. AS pula menyokong pejuang rakyat. Kuasa besar ini berperang di Syria menggunakan rakyat dengan memanipulasikan sentimen perbezaan fahaman antara Sunnah Wal Jamaah dan Syiah.

Setiausaha Negara AS, John Kerry mengakui Iraq yang kini dikuasai oleh Syiah membantu rejim Bashar dengan persetujuan Iran. Iraq yang dulunya dikuasai oleh Sunnah Wal Jamaah semasa era Saddam Hussein kini beralih kepada Syiah. Lihatlah permainan catur kuasa besar. Di Iraq, AS menyokong Syiah untuk memerangi Sunnah Wal Jamaah pimpinan Saddam. Tetapi di Syria AS menyokong pejuang yang terdiri daripada Sunnah Wal Jamaah memerangi rejim Bashar yang menganut fahaman Syiah. Ini membuktikan permainan kuasa besar berubah mengikut di mana ‘papan catur’ itu berada dan apa kepentingannya kepada AS.

Sentimen fahaman agama di Syria membuka laluan kepada kuasa asing memainkan peranan untuk meraih kuasa. Seperti yang semua orang tahu bahawa fahaman Syiah mewajarkan pembunuhan terhadap ahli Sunnah Wal Jamaah. Ini digunakan oleh kuasa besar untuk menyalakan sentimen perbezaan fahaman agama. Itulah sebabnya berlaku pembunuhan beramai-ramai oleh pemimpin penyokong Syiah.

Syria atau Mesir tidak akan terperangkap dalam momokan ‘Musim Bunga Arab’ dan seterusnya perang saudara tanpa penglibatan kuasa asing. Perang saudara di Syria sejak 2011 telah mengorbankan lebih 100,000 nyawa sebahagian besarnya orang awam dan sekurang-kurangnya 1.7 juta rakyat menjadi pelarian ke negara jiran. Semua ini mencetuskan krisis kemanusiaan yang sangat buruk.

Rejim Dinasti Bashar yang memerintah Syria sejak tahun 1970 adalah daripada fahaman Syiah yang cuma suku daripada jumlah orang Islam Syria. Selebihnya adalah ahli Sunnah Wal Jamaah. Tetapi Syiah lebih kuat kerana menumpang rejim Bashar dengan sokongan kuasa asing. Malah sebelum tragedi gas beracun ini, tentera rejim Bashar juga melancarkan serangan ke atas perkampungan ahli Sunnah Wal Jamaah. 

Gambar-gambar sekumpulan kanak-kanak dan orang dewasa yang mati seperti sedang nyenyak tidur kerana gas beracun disebarkan ke seluruh dunia. Gambar-gambar ini memperihalkan bahawa pembunuhan beramai-ramai dan tindakan di luar perikemanusiaan kini berlaku di negara Islam dan oleh orang Islam.

Tragedi ini dengan sendirinya memadamkan pembunuhan beramai-ramai oleh tentera zionis Israel yang menjadi proksi AS di kem Sabra dan Satila. Sementara Perang Dingin antara AS dan Kesatuan Soviet tidak berakhir dengan runtuhnya negara-negara blok komunis dua dekad lalu. Kini Rusia yang dulunya sebahagian Kesatuan Soviet terus menjadi sasaran AS. Di papan catur Syria telah terbukti semuanya.

Tindakan Bashar membunuh dengan gas beracun memberi lesen kepada AS untuk menyerang Syria atas alasan memulihkan demokrasi dan hak asasi manusia. AS yang menaja kebangkitan rakyat dalam ‘Musim Bunga Arab’ digambarkan sebagai pejuang keadilan dan kemanusiaan sejagat.

Setiausaha Pertahanan AS, Chuck Hagel mendakwa rejim Bashar menggunakan senjata kimia dalam skala yang kecil tetapi tetap menyalahi mana-mana konvensyen perang antarabangsa. Ini seolah-olah AS tidak pernah membuat perkara yang sama terhadap musuh-musuhnya. Tetapi dari sudut sejarahnya, penggunaan senjata kimia oleh Syria bukan perkara baharu malah pernah digunakan pada kurun ketiga semasa memerangi Rom.

Sebenarnya dakwaan Chuck Hagel boleh dilihat sebagai perang psikologi terhadap musuh AS itu. Tetapi yang pasti pembunuhan beramai-ramai memang benar berlaku di negara yang menjulang tamadun Islam.

Badan dunia seperti Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) dan Liga Arab tidak memperlihatkan kesungguhan dalam isu pembunuhan beramai-ramai ini. Tidak ada tindakan proaktif kecuali mengeluarkan kenyataan retorik yang tidak memberi apa-apa kesan terhadap konflik ini. Hebat sangatkah Bashar hingga Majlis Keselamatan PBB tidak boleh melakukan pemeriksaan senjata kimia selepas tragedi ini? Atau adakah ini disebabkan oleh Majlis Keselamatan yang turut dianggotai oleh Rusia dan China yang sememangnya melindungi Syria?

Di negara kita, puak perusuh yang hanya disembur oleh meriam air mendapat perhatian badan hak asasi dunia seperti Amnesty International serta banyak lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang menganggap itu suatu pencabulan terhadap hak asasi manusia. Tetapi di mana suara Amnesty International terhadap pembunuhan beramai-ramai di Syria? Kenapa mereka hanya heboh apabila perusuh disembur air tetapi diam apabila rejim peminum darah membunuh orang awam?

Ada sesetengah puak mahu menjadikan negara ini sebagai papan catur kuasa asing. Tetapi pihak yang waras ambillah iktibar dari tragedi di dunia Arab termasuk di Syria dan jangan sama sekali membiarkan negara menjadi papan catur kuasa asing, walau dalam apa bentuk sekalipun.

MUSYAWARAH ELAK RAMAI BERTANDING - TIMBALAN PRESIDEN UMNO



Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan supaya bakal calon pada pemilihan peringkat bahagian mengadakan musyawarah bagi mengelak terlalu ramai calon bertanding.

Menurutnya, kaedah musyawarah dapat mewujudkan kesatuan pemikiran untuk mencapai keputusan individu mana yang benar-benar sesuai untuk menawarkan diri pada pemilihan sejajar dengan proses transformasi parti.

Beliau menegaskan cadangan itu tidak bermaksud beliau ingin menganggu proses demokrasi dalam parti tetapi melihat ada kaedah yang boleh dilakukan bagi memilih pemimpin.

"Saya faham tak semudah seperti yang saya cadangkan tetapi langkah itu jika diambil boleh mencapai matlamat memilih pemimpin paling baik, layak, berakhlak tinggi dan dihormati," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Umno Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, di sini Sabtu.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata proses pemilihan parti kini boleh dilakukan melalui proses pendaftaran dan siapa sahaja boleh mendaftar untuk menawarkan diri bagi jawatan tertentu dan bukan lagi melalui kaedah pencalonan seperti sebelum ini.

Beliau berkata pemilihan Umno sentiasa menjadi fokus rakyat bukan sahaja di kalangan anggota parti tetapi juga di kalangan bukan Melayu.

Menurutnya, penduduk bukan Melayu di negara ini juga mahu Umno terus kuat kerana parti itu menjadi tunjang kepada kekuatan Barisan Nasional (BN) yang terdiri daripada parti komponen berbilang kaum.

Muhyiddin berkata cadangan itu bukan ditujukan kepada mana-mana individu yang telah menawarkan diri termasuk orang-orang lama dalam parti untuk bertanding tetapi ia bersifat umum.

"Saya tak sekat atau halang.

Kita (perlu) lihat lebih jauh. Kita berhadapan dengan keadaan zaman yang mencabar yang menuntut pengorbanan besar untuk lihat proses pembaharuan dalam parti," katanya.

Katanya kalau ada pemimpin muda yang boleh diketengahkan, perkara itu perlu dilakukan kerana pengundi juga ingin melihat satu tenaga baharu.

Katanya, pemimpin lama juga perlu bermuhasabah kerana apabila tiba waktunya, mereka perlu memikirkan tentang masa depan parti dan bukan masa depan peribadi mereka.

"Orang lama jangan anggap saya tak hargai sumbangan mereka.

Mereka tetap ada peranan termasuk melalui Mubarak (Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia) dan menjadi penasihat kepada mana peringkat sekali pun.

Saya pun akan sampai ke situ juga," katanya.

Beliau berkata apa yang lebih penting pada masa ini ialah menyusun lapis kepimpinan baharu yang bertenaga dan berupaya memimpin parti di peringkat nasional.

"Dalam situasi yang mencabar sebelum menghadapi pilihan raya umum ke 14, proses pemilihan perlu dilaksanakan secara berkesan dan menyerlah," katanya.

Sebelum itu Muhyiddin dan isteri Puan Seri Noorainee Abdul Rahman menyertai ribuan penduduk menghadiri majlis rumah terbuka itu.

Turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Menteri Besar Perlis Azlan Man.

-- BERNAMA

Sunday 25 August 2013

PEMILIHAN UMNO : KUALA TERENGGANU MAHUKAN TRASFORMASI???



Salam....

Di mana-mana pun ketika ini sedang rancak berlangsung Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan sayap-sayap. Begitu juga di Kuala Terengganu.

Angin bertiup di sebahagian tempat persidangan berlangsung. Seronok melihat kesungguhan ahli UMNO bekerja mengumpulkan ahli supaya hadir ke persidangan. Malah ada beberapa tempat yang Angin menggeleng kepala sebab jika thaun-tahun lepas nak ajak 10 orang bersidang pun payah tapi untuk kali ini belum jam 8.30 malam kawasan persidangan dah penuh. 

Hebat betul orang UMNO bila musim pemilihan mengalahkan piliharaya umum. Alangkah bagusnya cara kerja pemilihan ini diaplikasikan dalam pilihanraya umum. Konfirm Kuala Terengganu tak kena 0 - 5.

Malah jika rumput dihadapan rumah ahli boleh bercakap, mungkin dua tiga hari lepas rumput-rumput ini dah menjerit, "Woi!!! sudah-sudahlah pijak aku...sampai lonyeng (hancur berkecai) tubuh badan aku".

Begitulah hebatnya pemilihan umno di Kuala Terengganu.

Ada beberapa perkara menarik yang berlaku di sini. Mungkin ianya adalah satu kebaikan untuk ahli bagi mengatur persediaan menghadapi pilihanraya akan datang. 

Angin dapat merasakan transformasi telah bermula  di sini. Ramai muka baru muncul mencabar orang-orang lama dan mereka menang. Mereka masih muda dan berwibawa. Mungkin inilah yang dikatakan kuasa orang muda.

Sebagai contoh di UMNO Cawangan Kubang Ikan, Gong Tok Nasek dalam Dun Batu Buruk, orang muda mengalahkan bekas ketua cawangan. Rata-rata yang hadir persidangan ialah anak muda. Jika sebelum ini nak ajak orang muda pergi persidangan pun payah tapi kali ini mereka berpusu-pusu datang ke tempat persidangan. Mungkin mereka mahukan pembaharuan. Mungkin juga mereka sudah serabut dengan cara lama pemimpin mereka yang terdahulu.

Bagi peringkat bahagian pula, yang menawarkan diri rata-rata adalah orang muda.

Datuk Mohd Sabri Alwi, Timbalan Ketua UMNO Bahagian menawarkan diri untuk mengisi kekosongan jawatan ketua yang mana penyandangnya iaitu Dato' Wan Ahmad Farid telah menyatakan untuk tidak mempertahankan jawatan tersebut.


 Datuk Mohd Sabri Alwi atau Mat Kerok seorang yang masih muda dan digelar sebagai pemimpin akar umbi. Beliau akan di cabar oleh YB Cikgu Zubir Embong Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu dan seorang kontraktor yang Angin sendiri pun masih belum kenal.

Untuk jawatan Timbalan Ketua pula, beberapa nama disebut akan menawarkan diri iaitu Dato' Wan Hisham yang kini Naib Ketua, Encik Wan Kamal Wan Ismail (kini AJK Bahagian) dan Datuk Ibrahim Mohammad (kini AJK Umno Bahagian).

Bagi mengisi kekosongan Naib Ketua, nama-nama seperti Encik Badrol Hisham Zaki, Pegawai Khas MB, Encik Asmadi Awang (AJK Bahagian), Encik Wan Mahyuddin Wan Ngah (Ajk Bahagian), Encik Latif Ibrahim (AJK Bahagian) disebut-sebut menawarkan diri untuk bertanding.

Yang lebih hebat  adalah jawatan Ketua Wanita yang khabarkan dikosongkan oleh penyandang sekarang iaitu Puan Hajjah Jannah Zaleha Binti Nik. Nama-nama seperti Puan Nordiana Dato Shafie, Puan Rozalina Binti Mokhtar adalah orang muda yang menawarkan diri untuk bertanding.

Bagi pemuda pula, Saudara Mohd Fadzlong Yusof yang kini menyandang PSU, khabarnya akan ditentang oleh 2 calon lain. Puteri juga akan ada pertandingan.

Wah..... hebat sungguh!!!! Semua jawatan mungkin ada pertandingan. Mungkin kini masing-masing sedang mengatur stratergi, semua sedang berkira-kira untuk mengumpul jentera masing-masing. 

Apa yang Angin harapkan semoga semua yang menawarkan diri akan bertanding dengan berhemah dan baik. Jangan menerjah peribadi lawan. Angin tidak mahu pertandingan ini akan memulakan bibit perpecahan dan dendam yang akan di bawa sehingga ke PRU 14 nanti.

Parti lawan sedang memerhati dan mereka akan bertepuk tangan jika ada kesilapan walaupun kecil kerana mereka boleh menjadikan kesilapan kecik itu menjadi sebesar dan setinggi gunung everest.

Harapan Angin orang-orang muda yang memenangi pertandingan nanti akan membawa UMNO Kuala Terengganu ke arah lebih cemerlang dan mampu melakukan sesuatu untuk PRU14.


Saturday 24 August 2013

AnginLautChinaSelatan Kembali Bertiup : Perjalanan Harus Diteruskan

 
Salam buat semua pembaca AnginLautChinaSelatan.

Bukan kerana kesedihan atau kekecewaan  menyebabkan angin berhenti seketika dari bertiup. Jika boleh Angin ingin terus bertiup membawa cerita benar demi agama, bangsa dan negara.....

Ish!!! Jiwang plok dohs.....

Okaylah...hari ini Angin nak cerita tentang sati program yang kini sedang diperkatakan di Terengganu. Program yang pada asalnya Angin sendiri tertanya "perlu ke???" tapi kini Angin nak sokong 100%....

Walaupun nama program tu Walk4Malaysia mendapat kutukan beberapa facebooker yang datang entah dari ceruk mana tapi pada Angin apa ada pada nama. Yang penting ialah pengisianya....

Khabarnya walk4malaysia akan membawa beberapa mesej penting kepada rakyat Malaysia. Walk4Malaysia merupakan manifestasi rasa syukur pada ALLAH yang mengurniakan sebuah negara yang aman damai kepada hambaNya. Juga membawa harapan agar keamanan ini dapat dikekalkan dan dibajai agar iannya terus menerus menjadi legasi untuk ditinggalkan kepada anak cucu.

Walk4Malaysia juga adalah satu program untuk memberi peluang kepada rakyat menyatakan rasa terima kasih kepada kerajaan Terengganu dan Kerajaan pusat yang sentiasa mendahulukan rkyat dalam segala hal.

Peserta Walk4Malaysia khabarnya akan melalui beberapa buah negeri iaitu Terenggnau, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putra Jaya.

Mereka akan berjalan berteruskan selama 16 hari dan berhenti di perhentian-perhentian tertentu. (Insyaallah Angin akan dapatkan Peta Keseluruhan nanti.....) Berita yang Angin dapat, mereka akan melalui jalan-jalan tertentu merentasi seluruh negei Terengganu.

Yang lebih menarik mereka akan membawa tabung kemanusian yang diberi nama Tabung Kemanusian Muslim Unity untuk membantu umat islam yang negara mereka sedang bergolak seperti Syria, Mesir, Palestin  dan lain-lain. Mungkin ada pameran gambar-gambar mangsa keganasan dibuat untuk menyedarkan rakyat negara ini khusunya Terengganu akan nasib malang yang mungkin menimpa jika kita terleka.

Sememangnya rakyat negara ini perlu sedar bahawa keamanan yang dikecapi kini bukan datang bergolek. Ianya adalah titik peluh pemimpin terdahulu yang berjuang mendapatkannya. Kita pastinya tidak mahu negara berdaulat ini menjadi seperti Palestin, Syria atau Mesir yang kacau bilau bertahun-tahun kerana kerakusan manusia.

Terkadang kita terlalu selesa dengan apa yang kita nikmati sekarang sehingga kita lupa segalanya mungkin terjadi. Apalagi dalam keadaan sekarang, mungkin ada yang iri dengan apa yang dinikmati di Malaysia. Bangsa Melayu yang dahulunya tidak dipandang, kini boleh berbangga dengan kemajuan negaranya.

Cuma masih ada yang memandang sinis dengan usaha walk4malaysia. Cuba kita berfikiran lebih besar dan lebih terbuka untuk bersama menjayakan program ini.

Angin doakan semoga program Walk4Malaysia mendapat kejayaan. Dan insyaallah Angin akan update program ini dari masa kesemasa...



 


Thursday 1 August 2013

UPDATE: PERKEMBANGAN KEMATIAN CHUA BOON HUAT ATLET HOKI NEGARA



Pemain hoki kebangsaan, Chua Boon Huat maut selepas keretanya melanggar lori di Lebuhraya Damansara-Puchong, dekat Stesen LRT Kelana Jaya, 2.25 pagi tadi.

Beliau berusia 33 tahun.  Berasal dari Bukit Cina, Melaka, Huat antara pemain hoki paling lama bermain untuk negara dengan mula beraksi untuk skuad kebangsaan sejak berusia 17 tahun pada 1998. Beliau kembali dari persaraan demi membantu pasukan hoki dan membimbing pemain muda.

Boon Huat merupakan pemain yang telah banyak menyumbang jasa kepada negara dalam pelbagai pertandingan hoki dan antara pemain paling lama berkhidmat dalam pasukan kebangsaan. Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa.

PANAZ!!!! SAYA CINTAKAN BARISAN NASIONAL KERANA........


Kecintaan bakal jaguh Walk For BN Mohd Noor Mat terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana menyedari Pas sudah tersasar jauh dalam perjuangannya.
Menurut Mohd Noor, suatu ketika dulu dia pernah bersama dengan parti Pas, malah menjadi pengikut yang tegar yang turut berpegang kepada Amanat Haji Hadi yang mengkafirkan orang Umno.
“Saya dulu tidak makan sembelihan orang Umno kerana berpegang teguh kepada Amanat Hadi itu yang melibatkan soal terbatalnya aqidah orang Umno berdasarkan amanat itu,” katanya kepada penulis.
Beliau terpengaruh dengan sebahagian ahli keluarganya yang juga pada masa itu amat berpegang teguh kepada amanat tersebut.
“Tetapi selepas itu, apabila Pas berpakat dengan DAP dan mula banyak meninggalkan dasar perjuangan asal, saya pun sudah tidak percayakan parti itu lagi yang kononnya berpegang kepada ajaran agama tetapi sudah mula melanggar apa yang dijadikan asas perjuangan selama ini,” ujarnya.
Mohd Noor sempat kembali semula kepada Umno dan BN setelah menyedari bahawa perjuangan Pas hanyalah memperalatkan agama Islam untuk kepentingan politik.
Justeru itu, kasih sayang beliau terhadap Umno dan BN amat mendalam kerana pengalaman yang telah banyak mengajarnya itu.
Sebab itulah beliau sanggup untuk melakukan keajaiban demi untuk memperlihatkan kehebatan BN.
“Apalah sangat sumbangan saya ini kalau hendak dibandingkan dengan jasa dan sumbangan Umno dan BN kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Sama-samalah kita berdoa agar Mohd Noor diberikan kesihatan yang baik untuk menjayakan Walk For BN, dari Kuala Besut ke Kuala Lumpu

PENGUNDI KUALA BESUT ANGGAP MURSYIDUL AM PAS LUPA KETENTUAN ALLAH



Perbuatan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat menghina pengundi Kuala Besut sebagai lalai dan mengenepikan agama kerana memilih calon Barisan Nasional (BN) baru-baru ini adalah terlalu biadab.

 Beberapa pengundi ditemui, meminta supaya Datuk Nik Aziz menarik balik kata-katanya yang celupar itu, apatah lagi turut pula menghina golongan nelayan yang memilih BN dengan mengaitkan dengan habuan wang.

Pengundi wanita, Maznah binti Daud berkata, perkataan seperti itu tidak sepatutnya keluar dari seorang yang disanjung oleh orang Pas sebagai ulamak dan berpengetahuan agama.

Beliau meminta supaya Nik Aziz menarik balik kata-kata yang menghina penduduk dan pengundi dalam Kuala Besut sebagaimana yang ditulis dalam Facebook Nik Aziz 26 Julai dan disiarkan oleh beberapa akhbar tempatan. Tajuk tulisan Nik Aziz ialah Kuala Besut, Kuala Ujian.

  Nik Aziz dalam kenyataan itu menyifatkan penduduk Kuala Besut lalai apabila memilih BN dalam pilihanraya kecil baru lalu. Nik Aziz berkata, kehidupan rakyat Kuala Besut yang mencari pendapatan sebagai nelayan sukar membuat pilihan terutama demi kepentingan agama.

 Nelayan beri peluang cerah BN tabur projek dan habuan wang ringgit, kata Nik Aziz mengulas kemenangan BN dalam PRK Kuala Besut.

 Penyakit ghaplah atau lalai merajai penduduk Kuala Besut, kata Nik Aziz dalam FBnya.
  Seorang lagi pengundi, Kamarul Izwan bin Md Kamaruzzaman menyifatkan Nik Aziz sebagai orang Islam yang tidak redha dengan ketentuan Allah yang sepatutnya tidak berlaku kepada seorang yang berpelajaran agama seperti bekas Menteri Besar Kelantan itu.

 "Walaupun nelayan, ia tidak sepatut dihina dan dipandang rendah sebegitu rupa oleh Nik Aziz kerana nelayan juga manusia yang berjasa dan berperanan kepada masyarakat dan negara," katanya.

  Saiful Nizan Mohd Sabri, pengundi di pekan Kuala Besut meminta Nik Aziz memohon maaf secara terbuka di atas kenyataan yang menghina penduduk Kuala Besut itu.

“Yang banyak tabur habuan wang ringgit, merasuahkan pengundi ialah Pas sendiri,” katanya yang menolak dakwaan Nik Aziz bahawa pengundi ditabur habuan wang ringgit menyebabkan mereka sokong BN di Kuala Besut baru lalu.