Monday 26 August 2013

DIRA ABU ZAHAR - SERAH BORANG PUTERI UMNO




Pelakon dan pengacara, Dira Abu Zahar atau nama sebenarnya Khaidhirah Abu Zahar, 28, menyerahkan borang keahlian Puteri UMNO kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Idris Haron semalam.

Bekas pengacara Melodi itu menyerahkan borang tersebut pada majlis Rumah Terbuka Puteri UMNO Bahagian Tangga Batu di Sungai Udang.

Menurut Dira, dia telah lama berhasrat untuk menjadi ahli Puteri UMNO, namun terpaksa menunggu masa sesuai untuk menyertainya.

“Saya hendak buat banyak perkara untuk parti sebab saya melihat bagaimana perjuangan mak dan ayah dalam parti dan atas semangat mereka saya berasa terpanggil menyertai Puteri,” katanya.

Yang turut hadir sama Ketua Puteri UMNO Melaka merangkap Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Puteri UMNO Tangga Batu, Azlieza Azizan.

Dira ialah anak kepada Ketua Menteri Melaka kelapan, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Ithnin.

Dalam pada itu, Idris yang juga Ketua Menteri Melaka percaya selebriti tersebut mampu memainkan peranannya sebagai ahli dengan baik selain menarik lebih ramai pengikut.

“Saya juga percaya Dira tahu peranannya dan dia akan berjuang dengan kehendak diri sendiri bukan kerana paksaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment