Wednesday 28 August 2013

400 ANGGOTA KESELAMATAN TERBABIT DI LAHAD DATU AKAN DI BERI PENGHORMATAN




Seramai 400 anggota keselamatan yang terbabit dengan Operasi Daulat akan diberi penghormatan pada sambutan Hari Kemerdekaan ke-56, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata mereka terdiri daripada 100 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), 250 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 50 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Kita juga akan beri penghormatan kepada keluarga mereka yang terkorban dalam insiden Lahad Datu dengan menempatkan mereka bersama-sama tetamu kenamaan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 di sini Selasa.

Ahmad Shabery berkata acara itu sebagai simbolik kepada penghormatan terhadap mereka yang terkorban demi mempertahankan keamanan dan kesejahteraan negara tercinta.

"Ia juga selaras dengan pemilihan tema sambutan kali ini iaitu 'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku'," katanya.

Beliau berkata langkah itu juga bertujuan memberi peluang kepada orang ramai untuk bersama-sama memberi penghormatan kepada anggota keselamatan yang terlibat dengan Operasi Daulat.

"Jadi rakyat dijemput untuk hadir beramai-ramai, jika ketika pasukan bola sepak negeri masing-masing menang Piala Malaysia mereka boleh keluar beramai-ramai tanda sokongan, kenapa untuk beri penghormatan kepada pasukan keselamatan tidak boleh," katanya.

Selain itu, katanya, sambutan kali ini juga akan mempamerkan 300 aset pasukan keselamatan darat dan 30 aset pasukan keselamatan udara.

"Pameran itu termasuk aset-aset terbaharu milik pasukan keselamatan darat dan udara seperti kenderaan pengangkut 8x8 yang baru sampai dan helikopter pengangkut baharu iaitu EC 75," katanya.

No comments:

Post a Comment