Seorang
pengganas Sulu ditahan selepas menyerah diri ketika terserempak dengan
pasukan keselamatan yang menjalankan operasi penggeledahan di Tanjung
Batu, di sini, lewat hari ini.
Dalam
kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, sepasukan unit Gerak Gempur Khas
(GGK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang melakukan operasi di satu
kawasan paya sebelum terserempak dengan pengganas itu.
Dia kemudian melarikan diri sebelum dikejar dan akhirnya menyerah diri.
Lelaki
dipercayai tanpa senjata itu menyerah diri dengan mengangkat tangan dan
meminta pasukan keselamatan tidak melepaskan tembakan terhadapnya.
Difahamkan dua kereta perisai berantai dikerahkan untuk operasi pemantauan berterusan bagi mengesan pengganas lain.
Kereta
perisai itu dipercayai dikerahkan kerana bimbang penyerahan diri yang
dilakukan itu sebagai taktik kotor untuk pengganas lain melepaskan
tembakan terhadap pasukan keselamatan.
Bagaimanapun, sebaik mendapati tiada yang mencurigakan dan tidak membahayakan, pasukan keselamatan menahan pengganas berkenaan.
Pengganas itu kemudian diserahkan kepada pasukan VAT69 dan dibawa ke lokap tahanan sementara untuk disoal siasat.
Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Dato' Seri Zulkifli Zainal Abidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Timbalan
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pula berkata pasukannya
(VAT69) telah menerima pengganas tersebut dari GGK ATM dan sidang media
bersama ATM akan diadakan esok.
Sehingga
kini, jumlah tahanan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan
(Langkah-Langkah Khas) 2012 meningkat kepada 111 orang, pengganas
ditembak mati 67 dan mayat dibawa keluar 42.
No comments:
Post a Comment