LAHAD DATU 28 Mac - Seorang lelaki warga emas
dipercayai panglima kepada kumpulan pengganas Kiram dan pengamal ilmu
hitam mati ditembak selepas menetak seorang anggota keselamatan yang
menjalankan operasi penggeledahan dan pembersihan di sebuah rumah di
Kampung Simunul, Semporna dekat sini hari ini.
Lelaki berusia 60-an itu dipercayai merupakan pengawal peribadi
kepada orang kanan kumpulan pengganas tersebut dikenali sebagai Imam Mas
yang ditembak mati dalam pertempuran pada 2 Mac lalu di kampung
tersebut.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata,
semasa pasukan keselamatan memeriksa sebuah rumah di perkampungan itu
pada pukul 8.20 pagi, secara tiba-tiba lelaki terbabit meluru keluar
dari sebuah bilik yang dilihat berkunci dari dalam lalu menyerang dan
menetak seorang anggota keselamatan dengan menggunakan parang.
"Anggota pasukan keselamatan kita ditetak dua kali di depan dan
belakang tubuhnya. Atas faktor keselamatan, anggota tersebut sempat
melepaskan tembakan yang membunuh pengganas itu.
"Anggota pasukan keselamatan itu kita tidak cedera kerana memakai
pakaian perisai badan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Hamza berkata, pasukan keselamatan turut menahan enam individu,
termasuk isteri dan anak perempuan pengganas yang ditembak di kampung
tersebut.
Beliau berkata, kedua-dua wanita yang berusia 45 dan 30 tahun itu,
termasuk seorang mengalami kecacatan tangan kini ditahan di bawah Akta
Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), manakala
empat suspek lelaki ditahan atas lain-lain kesalahan.
Menurutnya, tangkapan terbaharu itu menjadikan jumlah mereka yang
ditahan di bawah SOSMA ketika ini, meningkat kepada 121 orang dengan 443
tangkapan atas lain-lain kesalahan manakala pengganas ditembak mati
pula seramai 68 orang.
Sementara itu, sumber memberitahu Utusan Malaysia, lelaki yang
mati ditembak itu merupakan seorang yang sangat digeruni kerana
mempunyai kedudukan tinggi dalam kalangan pendatang asing tanpa izin
(PATI) di kampung tersebut, selain aktif dalam aktiviti keagamaan.
"Walaupun aktif dalam aktiviti keagamaan, suspek juga difahamkan
turut mengamalkan ilmu hitam dan syirik terutama ramalan nombor ekor,"
ujarnya.
No comments:
Post a Comment