LAHAD DATU – Empat
mayat dipercayai rakyat asing ditemui di dalam sebuah rumah di Kampung
Tanjung Batu selepas pasukan keselamatan bertempur dengan pengganas
militan semasa operasi penggeledahan di kampung itu, Ahad.
Pertempuran pada pukul 9.15 pagi itu turut menyebabkan seorang
anggota tentera cedera di paha kanan akibat terkena tembakan musuh, kata
Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.
Beliau berkata insiden itu berlaku selepas pasukan
keselamatan menjejaki dua musuh yang memasuki sebuah rumah berhampiran
dan berlaku tembak menembak sehingga mencederakan anggota itu.
“Berlaku beberapa minit pertempuran di situ, dan semasa
pertempuran pasukan keselamatan mendapati seorang musuh telah lari dari
rumah itu menghala ke sebuah rumah di sebelah sebelum bertindak membakar
rumah berkenaan.
“Pasukan keselamatan kemudiannya melepaskan tembakan bagi
membersihkan rumah yang mula-mula dimasuki dua pengganas itu sebelum
memasukinya dan menjumpai empat orang mati ditembak,” katanya pada
sidang akhbar bersama Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu
Bakar di Markas Operasi di Felda Sahabat 16 di sini, Ahad.
Zulkifeli berkata mayat itu terdiri daripada seorang lelaki dan wanita dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan.
Tiada pengenalan diri ditemui.
Beliau berkata hasil penggeledahan, pasukan keselamatan
menemui seorang lagi kanak-kanak lelaki yang cedera, juga tiada
pengenalan diri dan dia diterbangkan ke Hospital Sandakan untuk rawatan.
Pasukan keselamatan turut menemui sejumlah bekalan makanan yang dipercayai dikumpul di rumah berkenaan, katanya.
Zulkifeli berkata kesemua mayat itu dibawa keluar dari lokasi
pertempuran, menjadikan jumlah keseluruhan mayat yang dikeluarkan
sehingga kini 42.
Beliau berkata militan pengganas yang semakin terdesak kini bergerak
dalam kumpulan kecil dan mengaplikasikan ‘Small Unit Tactic’, iaitu cuba
mendatangkan seberapa banyak mungkin kecederaan kepada pasukan
keselamatan yang menjejaki pergerakan mereka.
“Daripada pertempuran yang dialami, kami dapati Modus
Operandi musuh ialah apabila bertempur mereka akan membawa pasukan
keselamatan ke satu kawasan di mana penembak tepat mereka dapat
melepaskan tembakan.
“Selepas bertempur di situ, mereka kemudiannya berundur dan
memasuki kawasan rumah yang telah dikenal pasti untuk bertahan dan
bertempur semula sebelum bertindak membakar rumah itu dan rumah
berdekatan sekiranya tidak lagi mampu bertahan,” katanya.
Beliau berkata taktik melengahkan pergerakan anggota keselamatan itu
diteruskan dengan militan berundur ke kawasan paya berdekatan yang telah
dikenal pasti sebelum menggempur pasukan keselamatan yang
menghampirinya.
Zulkifeli yang yakin semua penembak tepat musuh berjaya ditembak mati
dalam pertempuran sebelum 20 Mac, berkata taktik yang diguna musuh
sekarang ini memerlukan pasukan keselamatan lebih berhati-hati.
“Sejak pertempuran pada 20 Mac pasukan keselamatan tidak lagi
mendapat tentangan daripada penembak tepat musuh dan kami yakin kumpulan
‘sniper’ pengganas telah dapat ditewaskan kerana kebelakangan ini tidak
ada lagi ancaman daripada kumpulan penembak tepat itu,” katanya. –
BERNAMA
No comments:
Post a Comment