LAHAD DATU – Peluru
bertaburan di jalan raya, rumah yang dibina dan dihuni sejak 40 tahun
lepas penuh berlubang dengan kesan tembakan dan ada di antaranya musnah
sama sekali akibat dibakar kumpulan militan dari selatan Filipina yang
bertempur dengan pasukan keselamatan.
Keadaan sayu itu menyambut kepulangan ketua-ketua keluarga penduduk
Kampung Tanjung Batu yang pertama kali menjejakkan kaki ke perkampungan
mereka setelah hampir sebulan ditempatkan di pusat pemindahan berikutan
kejadian pencerobohan militan Sulu.
Kampung Tanjung Batu adalah lokasi yang menjadi pilihan penceroboh
militan Sulu untuk menyusup masuk ke negara ini melalui jalan pantai dan
hutan selepas mendarat di Kampung Tanduo 12 Feb lepas.
Kumpulan militan itu dipercayai menggunakan perkampungan berkenaan
untuk berteduh dan mengumpulkan anggota mereka sebelum mula menyerang
dan menawan kampung itu.
“Saya memang terkejut. Saya tidak sangka jadi begini sehingga
rumah hangus. Saya reda kepada Tuhan atas kejadian ini,” kata Mahmud
Mallang, 72, ketua Kampung Tanjung Batu apabila melihat kemusnahan yang
dialaminya.
Kejadian itu bukan sahaja memusnahkan rumahnya malah empat rumah
anaknya juga hangus terbakar, selain turut kehilangan kereta dan
motosikal.
Beliau berkata walaupun mengalami kemusnahan yang teruk, rata-rata
penduduk kampung sepakat untuk terus menetap di perkampungan itu
memandangkan itulah kampung halaman mereka dan tempat mereka mencari
rezeki.
Kesayuan jelas tergambar di wajah ketua-ketua keluarga yang dibawa
masuk ke kampung itu untuk menilai kerosakan yang mereka alami dan bagi
John Dulahap, 62, walaupun sedih melihat kemusnahan itu, beliau yakin
kerajaan pasti akan membela nasib mereka dengan menyediakan bantuan khas
bagi meringankan beban yang ditanggung penduduk.
“Rumah anak-anak saya juga hangus dan ada juga yang dipenuhi bekas tembakan. Peralatan rumah turut rosak,” katanya.
“Rumah adik dan kakak saya hancur,” luah pula Ajimain Mahmud,
35, yang masih trauma selepas ditampar dua kali oleh anggota militan
semasa menceroboh kampung itu.
Mereka adalah antara 20 ketua keluarga yang dibawa masuk ke Kampung
Tanjung Batu bersama kumpulan penilaian terdiri daripada pegawai daerah
dan Majlis Keselamatan Negara bagi membuat taksiran kerosakan harta
benda sebelum penduduk yang mempunyai dokumen dibenar pulang Sabtu ini.
Petugas media yang turut dibawa bersama dapat melihat sendiri dengan
jelas kemusnahan di kampung itu yang boleh diibarat umpama ‘padang jarak
padang terkukur’.
Sebaik melepasi papan tanda ‘Selamat Datang ke Kampung Tanjung Batu’
jelas kelihatan ribuan peluru dan kelongsong peluru bertaburan di atas
jalan raya dan kawasan sekitar termasuk di perkarangan rumah dan kawasan
semak samun.
Hampir setiap rumah berlubang, rosak, tidak lengkap dengan ada atap
dan pagar rumah hancur. Penulis turut menemui kesan darah, pisau dan
parang kecil di beberapa rumah serta kasut but hitam milik pengganas di
satu daripada anak sungai.
Berhampiran lokasi itu, penulis menemui dua kenderaan jenis Perodua
Kancil dan Ford Ranger tersadai dan dipenuhi kesan tembakan. Kenderaan
itu dipercayai dicuri penceroboh militan dan diguna ketika menyerang
pasukan keselamatan.
Selain itu bau bangkai juga dapat dihidu, dipercayai daripada haiwan ternakan yang mati akibat kejadian itu. – Bernama
Gambar BERNAMA
No comments:
Post a Comment