LAHAD DATU : SEMUA WIRA YANG TERKORBAN ADALAH SYAHID - IMAM BESAR MASJID ABA'AH MAKKAH
Kuala
Nerang, 14 Mac - Imam Besar Masjid Aba'ah, Makkah, Syeikh Mohammad
Sharif Mohammad Imrani al-Hafiz berkata anggota pasukan keselamatan
Malaysia yang berjuang mempertahankan kedaulatan negara mati syahid.
Katanya umat Islam wajib mempertahankan negaranya daripada pencerobohan
asing dan mati dalam peperangan kerana ia adalah syahid fisabilillah
dan Allah SWT akan memberi syafaat kepada mereka.
Beliau yang
ditanya mengenai pencerobohan pengganas militan di Lahad Datu, Sabah
berkata: "Saya tidak tahu siapa yang melakukannya (pencerobohan) namun
kematian 10 anggota pasukan keselamatan Malaysia mempertahankan negara
adalah syahid."
Syeikh Muhammad Sharif dibawa khas dari
Makkah ditemui selepas memberi tazkirah yang disampaikan dalam bahasa
Melayu, Inggeris serta Arab pada program 'Malam Munajat Rakyat: Gema
Zikir dan Selawat' dan dihadiri hampir 5,000 umat Islam di Masjid Muadzam Shah di sini, malam tadi.
Beliau sebelum itu mengimamkan solat Maghrib dan solat hajat memohon
Allah SWT menyelamatkan Malaysia dan rakyatnya daripada bencana, diikuti
solat Isyak.
Program itu dianjurkan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Nerang Datuk Syed Sobri Syed Hashim.
Sheikh Muhammad Sharif berkata pergaduhan atau peperangan sesama umat
Islam di akhir zaman adalah tindakan manusia yang memiliki sifat syaitan
dan hendaklah dihindari oleh pengikut sebenar Nabi Muhammad SAW.
Beliau menasihatkan umat Islam Malaysia supaya memohon perlindungan
Allah SWT dan mengadakan solat hajat agar umat Islam di negara ini
terhindar daripada fitnah yang banyak berlaku di akhir zaman.
"Bergaduh sesama umat adalah perbuatan yang ditegah oleh Islam. Umat
Muhammad SAW adalah adik-beradik dan kita patut bersatu. Ini nasihat
saya," katanya.- BERNAMA
No comments:
Post a Comment