LAHAD DATU: SIDANG MEDIA JAM 8.00 MALAM - RUMUSAN LAHAD DATU 12 MAC 2013
Kuala
Lumpur, 12 Mac - Selepas lebih 48 jam tenang tanpa sebarang
pertempuran, bumi Lahad Datu yang menjadi lokasi pencerobohan kumpulan
militan bersenjata Sulu kembali menumpahkan darah hari ini.
Operasi membanteras, menggeledah dan pembersihan militan yang memasuki
hari kelapan hari ini menyaksikan seorang anggota keselamatan terkorban,
kematian pertama dialami pasukan tentera sejak Operasi Daulat dilancar
Selasa lalu.
Kejadian di Sungai Nyamuk, dekat Tanjung Batu itu
terjadi selepas pasukan keselamatan yang sedang melakukan operasi
pembersihan bertembung dengan sekumpulan musuh yang bertindak melarikan
diri sebelum dijejaki pasukan keselamatan dan berlaku pertempuran.
"Dalam pertempuran itu dua musuh berjaya dibunuh, malangnya seorang
anggota kita turut gugur dan seorang lagi cedera," kata Pesuruhjaya
Polis Sabah Datuk Hamza Taib dalam sidang media pada 8 malam.
Hari kelapan Operasi Daulat juga menyaksikan seorang lagi anggota
tentera terkorban apabila trak yang dipandunya terbabas di Jalan Lahad
Datu-Cenderawasih hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 10 anggota
keselamatan maut sejak tragedi pencerobohan 12 Feb lepas.
Di
sebalik rasa hiba, ada juga berita menggembirakan diterima selepas
tragedi pendaratan pengganas di Kampung Tanduo yang genap sebulan hari
ini - kampung tersebut diisytiharkan bersih sepenuhnya daripada ancaman
pengganas militan.
Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri
Zulkifeli Mohd Zin yang mengumumkan perkara itu berkata operasi
pembersihan pasukan keselamatan kini diperluas ke Sungai Nyamuk, Kampung
Tanjung Batu dan Kampung Labian.
Sehingga sidang akhbar itu,
polis mengesahkan 56 orang kumpulan militan ditembak mati dengan 24
mayat berjaya dikeluarkan, manakala 97 orang ditahan disyaki mempunyai
kaitan dengan pengganas dan 196 orang lagi ditahan kerana memasuki
kawasan larangan.
Sementara itu pengganas yang menceroboh
Lahad Datu dan Semporna yang ditahan bakal berdepan tindakan
undang-undang selepas polis membuka dua kertas siasatan berhubung
pencerobohan itu.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid
Abu Bakar berkata bentuk tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang
ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan pengganas itu akan
ditentukan selepas dibincangkan bersama Peguam Negara.
Dalam
pada itu, nasib penduduk kampung yang terjejas dalam Operasi Daulat
berikutan insiden pencerobohan pengganas turut diberi perhatian oleh
kerajaan persekutuan apabila mengumumkan tiga bantuan khas bagi Kampung
Tanduo dan
Tanjung Batu.
Bantuan meliputi pemberian
bantuan ehsan wang tunai RM1,000 kepada setiap keluarga, bantuan
pembinaan semula rumah yang musnah dengan kos setiap rumah RM50,000
serta pembaikan kecil untuk rumah yang rosak, dan penjadualan semula
bayaran pinjaman kepada penduduk yang berniaga dan meminjam daripada
Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tabung Ekonomi Usahawan Nasional (Tekun
Nasional) dan Amanah Ikhtiar itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan
Sri Muhyiddin Yassin
ketika melawat ke kawasan tragedi itu hari ini.
Kesemua bantuan itu hanya akan diberi kepada penduduk yang memiliki kad
pengenalan dan dokumen kelahiran yang sah sebagai warganegara ini.
"Bagi kesemua bantuan itu, penduduk perlu mendapatkan pengesahan
daripada ketua kampung, pemimpin setempat dan pihak berkuasa bagi
menentukan mereka merupakan penduduk yang terjejas dalam Operasi
Daulat," kata Muhyiddin.
Selain dua anggota tentera yang
terkorban hari ini, krisis pencerobohan itu turut meragut nyawa lapan
anggota polis yang terbabit dalam serangan hendap pengganas, iaitu dua
di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam di Semporna sehari
selepas itu.- BERNAMA
No comments:
Post a Comment