BUKIT MERTAJAM 18 Mac - Polis menahan seorang lelaki kerana cuba
mencetuskan provokasi bagi menganggu majlis ceramah "Di Sebalik Lahad
Datu dan Kalimah Allah" yang diadakan di dewan Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) Guar Perahu, Penanti dekat sini malam tadi.
Lelaki terbabit yang hadir bersama sekumpulan lebih 60 lelaki dan
wanita dipercayai penyokong parti pakatan pembangkang untuk mengganggu
majlis itu sejak 9 malam, ditahan untuk siasatan lanjut.
Pada mulanya kumpulan tersebut berkumpul di luar pagar sekolah itu
bagi menggagalkan ceramah yang dihadiri oleh Ahli Parlimen Kulim-Bandar
Baharu, Datuk Zulkifli Noordin dan Mursyidul Am Tolak Individu Bernama
Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip.
Bagaimanapun kumpulan tersebut bertindak agresif dengan merempuh
masuk ke kawasan sekolah dan bertindak membaling telur dan terhadap
orang ramai yang menghadiri majlis itu selain melemparkan kata-kata
provokasi bertujuan menghentikan ceramah tersebut.
Tindakan penyokong pembangkang itu sedikit pun tidak mematahkan
semangat kedua-dua penceramah tersebut yang menjawab fitnah yang
dilemparkan oleh pembangkang terhadap kerajaan berhubung insiden Lahad
Datu dan isu kalimah Allah.
Zulkifli dalam ceramah itu berkata, beliau tidak gentar untuk
berhadapan dengan penyokong pembangkang kerana apa yang dilakukan itu
adalah untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanah air daripada menjadi
mangsa kerakusan pihak-pihak tertentu.
"Saya akan terus berceramah dan tidak gentar dengan apa saja demi agama Allah," katanya.
Beliau juga menggesa pengundi khususnya di Permatang Pauh agar
menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana pemimpin itu sanggup melakukan
apa sahaja termasuk menyokong penggunaan kalimah Allah oleh agama lain
semata-mata mahu memenuhi cita-cita politiknya. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment