KUALA LUMPUR: Pasukan keselamatan mengadakan
kepungan di laut dan darat bagi mengekang kemasukan bekalan makanan dan
persenjataan kepada kumpulan penceroboh bersenjata di Sabah.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata pihak keselamatan
turut menangkap penceroboh yang cuba masuk dan keluar dari Kampung
Tanduo serta Tanjung Batu bagi mendapatkan bekalan makanan.
"Kita telah mengadakan kepungan setakat ini, jika mengikut jalan
laut, kita telah mengadakan kerjasama erat dengan pasukan seperti ATM
(Angkatan Tentera Malaysia dan TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia). Kita
telah mengadakan kepungan di lautan dan di darat.
"Saya rasa bekalan makanan itu tidak dapat masuk, kerana banyak juga
cubaan yang kita dapati yang mereka nak masuk dan nak keluar, kita
berjaya menangkap mereka," katanya ketika ditemu bual menerusi program
Malaysia Hari Ini (MHI) TV3 yang disiar secara langsung, di sini Khamis.
Penceroboh bersenjata dari selatan Filipina itu yang berkubu di
Kampung Tanduo, Felda Sahabat 17, Lahad Datu dikepung pihak keselamatan
negara sejak 12 Februari dalam usaha kerajaan menyelesaikannya secara
aman.
Namun, pada 1 Mac kumpulan terbabit menyerang pihak keselamatan yang
mengorbankan dua anggota polis komando VAT 69 dan sehari selepas itu
enam lagi anggota polis terkorban dalam serangan hendap di sebuah
perkampungan di Semporna, juga angkara kumpulan penceroboh.
Mengenai kumpulan penceroboh yang dipercayai menyamar sebagai orang
awam susulan tindakan ofensif pihak keselamatan kelmarin, Hamza berkata
pihaknya mengadakan kepungan di Kampung Tanjung Batu bagi memastikan
tiada orang awam di situ sebelum serangan dilakukan.
"Kalau ada jalan keluar pun, 'the only way out' ialah ikut jalan
laut. Bagaimanapun, saya tidak menafikan (wujud cabaran) kerana kita
berhadapan dengan manusia, jadi masing-masing ada tipu helah," katanya.
Berhubung penahanan empat suspek lelaki yang dipercayai mempunyai
kaitan dengan kumpulan penceroboh di Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna,
Hamza berkata polis masih menyiasat sejauh mana penglibatan suspek
dengan kumpulan berkenaan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment