UPDATE LAHAD DATU: JAMALUL KIRAM BIMBANG, ADA KELUARGANYA YANG DI TAHAN DI MALAYSIA
Lahad
Datu, 17 Mac -Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata anggota
keluarga Jamalul Kiram antara 104 orang yang ditahan di bawah Akta
Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
"Mereka yang ditahan berada di sini dipercayai anggota keluarga
(Jamalul) Kiram yang menggunakan nama lain...di sini mereka guna nama
lain, di Filipina mereka guna nama lain. Ini kita sedang siasat,"
katanya dalam sidang media bersama Panglima Medan Tentera Darat Lt Jen
Datuk Seri Zulkiple Kassim di Felda Sahabat 16 di sini, hari ini.
Beliau berkata operasi membanteras pengganas tidak hanya tertumpu
kepada keluarga Jamalul Kiram, yang didakwa dalang insiden pencerobohan
di Sabah sejak 12 Feb lepas, kerana polis turut menjejaki kaum keluarga
anggota militan lain yang dipercayai terlibat insiden pencerobohan itu.
"Kita juga turut menyiasat orang lain yang mempunyai kaitan dengan
pengganas di bawah SOSMA," katanya tanpa memberitahu bila mereka akan
didakwa di mahkamah.
Mengenai kematian seorang tahanan di bawah
SOSMA di Semporna semalam, beliau berkata individu itu meninggal dunia
di hospital akibat sakit dan bukannya membunuh diri seperti yang didakwa
sesetengah pihak.
Sehingga kini seramai 104 orang telah
ditahan di bawah SOSMA dan 232 lagi ditahan atas pelbagai kesalahan
lain. Dalam pada itu, Hamza berkata keadaan di seluruh Sabah adalah
terkawal termasuk di Semporna dan Lahad Datu, kecuali di kawasan operasi
di gugusan Tanjung Labian, yang kini dalam proses pembersihan. -
BERNAMA
No comments:
Post a Comment