KOTA KINABALU: Saudara terdekat Jamalul Kiram III
yang mengaku sebagai Sultan Sulu ditahan polis dalam usaha mengesan 20
lagi suspek utama yang mempunyai kaitan dengan pencerobohan sekumpulan
lelaki bersenjata di Kampung Tanduo.
Polis enggan mendedahkan butiran mengenai maklumat keluarga Kiram
yang sedang diburu tetapi sekurang-kurangnya dua suspek dipercayai
adalah adik dan sepupu kepada Raja Muda Azzimudie Kiram yang mengetuai
kumpulan bersenjata itu ke Tanduo.
Suspek pertama yang terlibat dalam mengangkut ikan, tinggal di Lahad
Datu bersama dengan keluarganya dan berpindah ke Semporna baru-baru ini.
Dia menghilangkan diri selepas membantu dalam rundingan dengan
kumpulan pengganas tersebut bagi menamatkan pencerobohan yang bermula
pada 12 Februari lalu.
Namun tidak diketahui sekiranya dia adalah salah seorang yang ditahan
memandangkan keluarga Kiram mempunyai ramai saudara yang tinggal di
Sabah dan Semenanjung Malaysia.
Mereka yang ditahan setakat ini melibatkan sekurang-kurangnya tujuh
anggota beruniform, seorang ahli politik tempatan dan ramai pesimpati di
Lahad Datu dan Semporna di mana serbuan dijalankan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, enam lagi suspek
ditahan kerana dipercayai ada kaitan dengan pengganas menjadikan jumlah
tahanan kepada 97 orang.
Kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 130 (c) Kanun Keseksaan yang
dibaca bersama dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas)
2012.
Beliau berkata 125 yang lain turut ditahan kerana cuba memasuki kawasan zon merah, lokasi di mana Ops Daulat sedang dijalankan - Mstar
No comments:
Post a Comment