UPDATE LAHAD DATU : YANG ADA CUMA KERETA YANG HANCUR
Kuala
Lumpur, 11 Mac - Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib menafikan
dakwaan penceroboh dari selatan Filipina berjaya memasuki Kampung Tanduo
menerusi terowong bawah tanah yang dibina sejak November lepas.
"Setakat ini kami tidak mendapat sebarang maklumat mengenai adanya terowong itu.
"Malah, apabila tentera mengadakan serangan udara pun kami tidak temui
terowong bawah tanah itu, yang ada cuma kereta yang hancur," katanya
hari ini ketika dihubungi menerusi program Malaysia Hari Ini (MHI)
terbitan TV3 yang disiar secara langsung.
Beliau mengulas
laporan sebuah akhbar tempatan yang memetik penduduk Kampung Tanduo di
Lahad Datu sebagai berkata penceroboh Sulu telah membuat perancangan
rapi ketika memasuki kampung itu termasuk membina terowong bawah tanah.
Penduduk mendakwa penceroboh menggunakan jentera pengorek untuk mengali
lubang seolah-olah sedang mencari emas tetapi didakwa helah membina
kubu dan terowong bagi dijadikan tempat persembunyian apabila diserang.
Ditanya sama ada kemungkinan penceroboh Sulu hanya berada di sekitar
Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu, Hamzah berkata: "Tak boleh
anggap mereka (penceroboh) berada di dua kampung ini sahaja."
Mengulas mengenai insiden seorang remaja lelaki maut manakala seorang
lagi lelaki cedera di kaki setelah terkena tembakan pasukan keselamatan
dalam operasi memburu penceroboh di Kampung Sungai Bilis semalam, Hamza
berkata kejadian itu berlaku di dalam liputan kawasan operasi.
Tegasnya apabila berada dalam kawasan operasi, kesiapsiagaan pasukan
keselamatan sememangnya berada pada tahap yang tertinggi dan tidak akan
memberi ruang dan peluang kepada pihak musuh untuk membuat serangan
balas.
"Dalam apa keadaan sekali pun kita akan bertindak sebab
itu pasukan keselamatan sering mengingatkan orang ramai jangan
menghampiri kawasan operasi," katanya.
No comments:
Post a Comment