MANILA: Filipina masih belum menerima permohonan rasmi
daripada Malaysia bagi menyerahkan Sultan Jamalul Kiram III atau
mana-mana pengganas Sulu yang terlibat dalam insiden pencerobohan di
Sabah kepada pihak berkuasa negara itu, kata Jabatan Hal Ehwal Luar
(DFA) Filipina pada Khamis.
"Sehingga kini kami masih belum dimaklumkan atau menerima permohonan
rasmi daripada Malaysia untuk mengektradisi rakyat Filipina yang
terlibat dalam insiden Lahad Datu," kata jurucakap DFA, Raul Hernandez.
"Kita tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia," katanya
lagi sambil menambah bahawa sebarang permintaan untuk ekstradisi
daripada Malaysia akan dirujuk kepada Jabatan Keadilan (DOJ).
Sebelum ini Setiausaha Hakim, Leila De Lima dilaporkan berkata bahawa
kerajaan Filipina sedang mengkaji kemungkinan mengadakan proses
ekstradisi Jamalul Kiram ke Malaysia bagi menghadapi pertuduhan jenayah.
Walau bagaimanapun De Lima berkata, keutamaan diberikan terhadap
pertuduhan yang mungkin dikenakan terhadap Jamalul Kiram yang akan
difailkan di sini kerana melanggar undang-undang Filipina. FILIPINA DAILY INQUIRER
No comments:
Post a Comment