KUALA LUMPUR 13 Mac - Kerajaan Malaysia sekeras-kerasnya menolak
dakwaan media Filipina kononnya berlaku pencabulan hak asasi manusia
terhadap warga Filipina semasa operasi mengusir pengganas Sulu di Sabah
baru-baru ini.
Kementerian Luar, dalam kenyataan malam ini berkata, dakwaan yang disiarkan oleh akhbar Inquirer pada 9 dan 10 Mac lepas didapati tidak mempunyai bukti dan justifikasi serta bercanggah dengan amalan kewartawanan profesional.
"Dakwaan yang dilaporkan itu adalah rekaan pembohongan oleh mereka
yang berniat merosakkan serta menimbulkan ketegangan hubungan baik dan
erat antara Malaysia dan Filipina," katanya.
Akhbar itu mendakwa pasukan keselamatan negara bertindak kejam dengan
menyasarkan warga Filipina keturunan Suluk dan Tausug di Sabah
berikutan insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna.
Kenyataan itu menyebut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib,
yang terbabit dalam operasi itu, telah menafikan dakwaan itu dan perkara
itu turut disahkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid
Hamidi.
Kementerian itu berkata, kerajaan Malaysia memberi jaminan bahawa
pihak berkuasa akan terus bertindak mengikut undang-undang dalam negara
dan antarabangsa dalam melaksanakan tanggungjawab dalam menghadapi
pengganas bersenjata dari selatan Filipina itu.
"Tidak perlu diingatkan bahawa kumpulan pengganas itu telah melakukan
tindakan keganasan dengan pembunuhan kejam dan kekejaman di Lahad Datu
dan Semporna," katanya.
Kenyataan itu menyebut, langkah perlu akan diambil bagi memastikan
keperluan kemanusiaan semua orang awam di kawasan berkenaan akan
ditangani sepenuhnya.
Pihak berkuasa Malaysia, dengan sokongan padu semua rakyat Malaysia,
akan kekal berdiri teguh dalam usaha melindungi keamanan dan keselamatan
serta mempertahankan kedaulatan negara, katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment