Wednesday 10 April 2013

LAHAD DATU : DATUK SERI MUHAMMAD RIDZWAN SULAIMAN DIGANTUNG KEAHLIAN PERTUBUHAN KEBAJIKAN AL-EHSAN ISLAMIAH MALAYSIA?




Majlis Tertinggi Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiah Malaysia yang mengadakan mesyuarat khas di sini mengumumkan penggantungan sementara Datuk Seri Muhammad Ridzwan Sulaiman sebagai presiden, berkuat kuasa hari ini.  

Penggantungan sementara itu sehingga Muhammad Ridzwan selesai disiasat polis selepas beliau ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) berhubung pencerobohan bersenjata di Lahad Datu.    


Pemangku Presiden Al-Ehsan, Datuk Meor Ramli Abu Bakar berkata, penggantungan itu berdasarkan undang-undang pertubuhan  mengikut fasal 15(B) yang menyebut anggota yang gagal mematuhi undang-undang atau mencemar nama pertubuhan boleh dipecat atau digantung keanggotaannya.


"Urusan pentadbiran Al-Ehsan akan diserahkan kepada Ahli Jawatankuasa Bertindak yang terdiri daripada lima ahli yang dilantik  termasuk saya," katanya kepada pemberita semalam.


Pada 1 April lepas, Muhammad Ridzwan menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang, Kuala Lumpur bagi membantu  siasatan berhubung pencerobohan bersenjata di Sabah.


Tindakan menyerah diri itu dibuat berikutan kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib sebelum itu yang memintanya  menyerah diri dengan segera di mana-mana balai polis berhampiran.


Hamza berkata Muhammad Ridzwan, yang tidak terlibat dengan pengganas bersenjata dari selatan Filipina, boleh membantu polis  dalam siasatan mengenai kes pencerobohan di Lahad Datu pada 12 Februari lepas. - Bernama

No comments:

Post a Comment