Thursday 4 April 2013

PAS TERPAKSA BERI 3 KERUSI KEPADA PKR??? NAMPAK SANGAT TAK SEBULU

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Bera, Setiawangsa dan Labuan iaitu kerusi yang ditandingi PAS pada pilihan raya umum 2008.

Pertukaran kerusi antara sekutu pakatan pembangkang itu terpaksa dibuat berikutan timbulnya bantahan di kalangan penyokong PKR apabila PAS mendahului dengan menamakan calon mereka bertanding di Parlimen Temerloh dan Kangar.

Pengarah Pilihan Raya PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, gantian ketiga-tiga kerusi berkenaan dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali.

"Datuk Seri Anwar (Ibrahim) sudah hubungi Datuk Seri (Abdul) Hadi dan saya sendiri berbincang dengan Datuk Mustafa bagi menyuarakan bantahan ahli PKR apabila PAS umum bertanding di Temerloh dan Kangar.

"Bagaimanapun kami ambil keputusan untuk akur dan terima baik perkembangan itu. Jadi PKR akan bertanding di Bera sebagai gantian kerusi Temerloh."PKR juga akan bertanding di Labuan dan Setiawangsa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Rabu.

PAS sebelum ini mengumumkan Ketua Pemudanya, Nasrudin Hassan Tantawi bertanding di Parlimen Temerloh selain turut akan meletakkan calon bertanding di Kangar.

Kedua-dua kerusi berkenaan ditandingi PKR pada pilihan raya umum yang lalu.Selain itu Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, pakatan pembangkang akan memuktamadkan agihan kerusi antara parti itu bersama PAS dan DAP pada mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada Khamis.

"Siri rundingan bersama PAS dan DAP berjalan dengan baik, sehingga kini kita sudah capai lebih 90 peratus persetujuan."Tidak banyak kerusi yang bertindih, kita akan selesaikan esok (Khamis)," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment