Tuesday 2 April 2013

CALON DAP MELAYU DI UMUMKAN BERTANDING DI PAHANG

RAUB: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Manis, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz telah diletakkan sebagai calon DAP bagi kerusi Parlimen Raub.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan perkara berkenaan kepada ahli parti dan penyokong mereka di Sungai Liu dekat sini pada Isnin.

Sementara Timbalan Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji akan bertanding menentang calon MCA bagi kerusi Mentakab

Mohd Ariff, 57, merupakan Adun selama satu penggal dari 2004 hingga 2008, juga merupakan seorang penulis blog yang menggunakan nama "Sakmongkol AK47."

Dia menyertai DAP pada Januari tahun lalu, bersama-sama seorang veteran Umno, Aspan Alias.

Mohd Ariff akan berhadapan dengan Exco senior Pahang yang juga Adun Bilut, Datuk Hoh Khai Mun yang dijangka akan menggantikan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen bagi kerusi berkenaan.

Tengku Zulpuri,47, merupakan kerabat diraja Pahang.

Beliau bertanding dan menang jawatan timbalan pengerusi dalam pemilihan parti pada 2010.

Tengku Zulpuri akan berhadapan dengan penyandang kerusi Datuk Chuah Boon Seong, yang juga Ketua MCA Bahagian Temerloh.

Selain daripada dua personaliti yang berpengaruh itu, Lim turut mengumumkan bahawa Adun Tras, Choong Siew Onn akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya.

Tras merupakan satu daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri di bawah Parlimen Raub.

Dua lagi kerusi DUN ialah Batu Talam dan Dong.

Pada pilihan raya 2008, Choong memenangi kerusi DUN Tras dengan majoriti 2,451 ekoran isu bantahan terhadap Bukit Koman.

Sementara itu, dalam ceramah di lokasi lain di Kampung Baru Ulu Perting, Lim turut mengumumkan Adun DAP selama lima penggal, Leong Ngah Ngah akan bertukar kerusi dan bertanding di Ketari.

Leong merupakan Pengerusi DAP Pahang dan Adun Triang sejak 1990.

Lim turut mengumumkan bahawa Ketua Pemuda DAP Bentong, Choe Yu Hui akan bertanding di Bilut sementara Ahli Jawatankuasa Pusat (CEC), Kamache Doray Rajoo akan berhadapan dengan calon MIC di Sabai.

Pada pilihan raya umum lalu, Kamache tewas dengan majoriti tipis kepada penyandang kerusi Datuk M. Davendram dengan 145 undi
Kerusi DUN Sabai, Ketari dan Bilut terletak di bawah Parlimen Bentong.

Sementara satu lagi kerusi iaitu, DUN Pelangai merupakan kerusi disandang oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Bulan lalu, Lim mengesahkan bahawa Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack akan bertanding di Bentong menggunakan lambang DAP.

Wong akan berhadapan dengan Menteri Kesihatan yang juga Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

No comments:

Post a Comment