Salam buat semua....
Isu Kalimah Allah
akhirnya selesai dengan semua pihak sependapat iaitu, ia tidak boleh sama
sekali digunakan dalam kitab dan risalah agama lain. Walaupun sebelum ini PAS mengambil pendirian
bertentangan, tetapi kembali rasional setelah Majlis Syura bersidang dan
memutuskan bahawa Kalimah Allah adalah ekslusif dan tidak boleh digunakan untuk
merujuk kepada Tuhan agama lain.
Seperti biasa, PAS
menegaskan konon mereka sentiasa konsisten dan tidak pernah membuat U-turn
walaupun kenyataan-kenyataan rasmi pemimpin PAS beberapa tahun kebelakangan
sejak isu ini mula timbul, membuktikan pendirian flip-flop PAS. Alasan kononnya PAS hanya bersetuju sebelum
ini dengan syarat Kalimah tersebut tidak disalahguna, adalah alasan dangkal
untuk menutup malu.
Tidak mungkin
selama ini PAS menyangka yang puak Kristian ingin menggunakan Kalimah Allah
untuk merujuk kepada Allah SWT yang Maha Esa, pencipta sekalian alam. Tidak mungkin PAS menyangka yang Kristian
percaya pada Allah SWT dan tidak akan menyalahgunakan nama ‘Allah’ untuk
merujuk kepada Tuhan Kristian.
Apa yang berlaku
menunjukkan kegagalan PAS menangani isu agama di mana ketika PAS menyokong
penggunaan Kalimah tersebut oleh agama lain, pemimpin PAS tidak pula terlebih
dahulu merujuk kepada Majlis Syura tetapi hanya terus membuat kenyataan
mengikut sesedap rasa.
Keputusan Majlis
Syura PAS menunjukkan yang masih ada harapan bagi PAS untuk kembali ke pangkal
jalan. Sesungguhnya, PAS telah tersasar
jauh kerana memberi kuasa mutlak kepada pemimpin tertinggi membuat apa jua
keputusan dan kenyataan dalam isu agama.
Bagaikan seorang Pope Kristian, pemimpin tertinggi PAS diangkat
mengatasi manusia biasa, Majlis Syura, Jawatankuasa Fatwa dan mungkin tidak
keterlaluan jika dikatakan, mengatasi Sheikhul Azhar juga. Tindakan inilah yang menjadikan mereka riak
dan takbur serta tersesat jauh dalam mempertahankan ego masing-masing.
Ego
pemimpin-pemimpin PAS telah banyak merosakkan ummah selama ini. Oleh itu, walaupun isu Kalimah Allah selesai
tetapi Majlis Syura PAS tidak wajar untuk merasa lega. Ini kerana masih terdapat isu lain yang sama
berat dengannya yang masih belum selesai hanya kerana ego pemimpin PAS yang
terlalu tinggi. Isunya tidak lain tidak
bukan adalah isu Amanat Haji Hadi.
Hari ini, nampaknya
Hadi cuba membayangkan seolah-olah beliau tidak pernah menuduh UMNO kafir. Tetapi, dalam Muktamar PAS yang baru lalu,
pemimpin PAS terus bermain kata-kata dan memberi gambaran seolah-olah UMNO itu
murtad yakni kafir. Walaupun tidak
secara langsung, tetapi ia membawa kepada pemahaman yang sama.
Walaupun PAS cuba
mengelak dengan alasan isu ini telah basi dan terkubur bersama pejuang Memali
di tahun 1980-an, namun itu hanyalah cakap-cakap Hadi untuk memujuk perasaan
bersalah di dalam dirinya. Tidak apa
jika isu ini hanya melibatkan Hadi seorang.
Malangnya, ia tidak semudah itu, kerana ia melibatkan begitu ramai umat
Islam dari beberapa generasi selama lebih 2 dekad.
Sehingga ke hari
ini, masih ada yang enggan bersolat
berimamkan orang UMNO. Jika melihat
dari segi positif, tidak apalah kerana mereka mungkin masih punya peluang
menyedari kesilapan dan bertaubat sebelum mati.
Tetapi, bagaimana
yang telah meninggal dunia dalam keadaan mengkafirkan atau dikafirkan ibu bapa
sendiri? Bagaimana yang telah meninggal
dunia dalam keadaan tidak dimandikan konon ‘syahid’ sebab menentang kerajaan
Islam UMNO yang hakikatnya tidak pernah menentang Islam pun?
Jika Hadi berkata
beliau tidak pernah mengkafirkan UMNO, kenapakah tragedi ini semua
terjadi? Salah siapa? Apakah salah mereka sendiri kerana tersalah
faham amanatnya?
Memandangkan Hadi
enggan bertanggungjawab, maka Majlis Syura PAS wajar memikul tanggungjawab ini
bagi menghapuskan kekeliruan dan mengembalikan pemahaman penyokong mereka yang
terbabit, ke landasan yang betul. Tiada
siapa lagi yang dapat menghentikan kegilaan mengkafirkan sesama Islam ini
selain Majlis Syura PAS kerana jelas Hadi tidak punya kekuatan yang cukup untuk
mengorbankan egonya. Ulama UMNO atau
mana-mana Ulama luar tidak mampu membantu kerana suara mereka tidak laku dalam
komuniti PAS.
Hanya Majlis Syura
sahaja harapan kita untuk meletakkan noktah kepada kegilaan yang ditimbulkan
oleh Amanat Haji Hadi. Masalah mereka
yang meninggal dunia tanpa dimandikan atau meninggal dalam keadaan dikafirkan
sanak saudara dan keluarga sendiri pula, bolehlah diuruskan selepas Majlis
Syura membuat keputusan.
Apakah Majlis Syura
juga tidak punya cukup kekuatan untuk bersemuka dengan ego Hadi? Apakah air muka Hadi lebih penting dari ummah
dan akidah? Apakah politik lebih penting
dari agama?
Sumber : SINI
No comments:
Post a Comment